SP Setia lancar projek baharu Damaira bernilai RM87.93 juta di Setia Mayuri Semenyih | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SP Setia lancar projek baharu Damaira bernilai RM87.93 juta di Setia Mayuri Semenyih

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Mei – SP Setia Berhad akan melancarkan projek kediaman baharu dikenali sebagai Damaira di pembangunan Setia Mayuri, Semenyih dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM87.93 juta.

 

Projek ini merupakan pelancaran baharu dalam segmen kediaman premium oleh SP Setia yang menampilkan konsep kediaman berinspirasikan Bali dengan pendekatan eco-resort yang menggabungkan elemen alam semula jadi, privasi dan gaya hidup moden.

 

SP Setia dalam satu kenyataan memaklumkan Damaira merangkumi 54 unit rumah semi-berasingan dua tingkat berstatus pegangan bebas dengan pecahan beberapa jenis unit (type A dan type B), dibina di atas saiz tanah 40’ x 80’, 49’ x 80’ dan 40’ x 94’.

 

“Setiap unit mempunyai keluasan binaan antara 2,740 kaki persegi hingga 2,957 kaki persegi dengan reka bentuk yang menekankan ruang luas, pencahayaan semula jadi serta sambungan ruang dalaman dan luaran yang fleksibel.

 

“Harga jualan kediaman ini ditawarkan antara RM1.47 juta hingga RM2.27 juta seunit, menyasarkan pembeli dalam segmen hartanah mewah di kawasan Lembah Klang Selatan.

 

“Projek ini dijangka siap pada Disember 2027 dan dibangunkan dalam kawasan Setia Mayuri seluas 209 ekar dalam kawasan berpagar dan pengawasan keselamatan,” katanya dalam kenyataan itu.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi SP Setia Berhad, Datuk Yuslina Mohd Yunus berkata pembangunan ini mencerminkan falsafah syarikat dalam menghasilkan persekitaran kediaman yang menggabungkan reka bentuk, landskap dan alam semula jadi secara harmoni.

 

Beliau berkata Damaira dibangunkan dengan kepadatan rendah iaitu sekitar empat hingga lima unit rumah bagi setiap ekar, bagi memastikan privasi, keluasan ruang dan rasa ekslusif kepada penghuni.

 

Antara ciri utama projek ini termasuk integrasi teknologi hijau seperti suis penjimatan tenaga, kesediaan pemasangan solar fotovoltaik, sistem penuaian air hujan serta kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV).

 

t

 

Selain itu, pembangunan ini turut mengamalkan konsep jalan hijau dengan pendawaian utiliti bawah tanah bagi mewujudkan persekitaran lebih bersih, selamat dan mesra pejalan kaki serta basikal.

 

Dalam masa sama, SP Setia turut menawarkan 13 lot tanah banglo berstatus pegangan bebas di dalam kawasan sama dengan saiz antara 6,346 kaki persegi hingga 24,014 kaki persegi, dan harga bermula RM571,000.

 

Dari segi lokasi, Setia Mayuri mempunyai akses strategik melalui Lebuhraya Cheras-Kajang, SKVE, SILK dan LEKAS yang menghubungkan kawasan ini ke pusat bandar serta kawasan sekitar Lembah Klang.

 

Kemudahan rekreasi turut disediakan termasuk Lamantara Park yang menjadi nadi hijau utama pembangunan dengan trek joging tiga lorong, pavilion, padang terbuka serta zon kecergasan dan permainan.

 

Selain itu, Wau Park turut menjadi tarikan utama yang berinspirasikan seni wau tradisional Melayu, menawarkan ruang santai berkonsepkan landskap budaya dan rekreasi keluarga.

 

Kemudahan komersial seperti Baris Place yang terletak dalam kawasan pembangunan ini menempatkan jenama runcit seperti 7-Eleven dan Mr DIY, selain restoran, kafe dan gimnasium untuk kemudahan harian penduduk.

 

Baris Place dilaporkan menerima sambutan kukuh dengan beberapa komponen telah mengambil kadar sewaan atau jualan penuh, menunjukkan permintaan tinggi terhadap kawasan komersial tersebut.

 

Penduduk juga mendapat akses kepada kemudahan gaya hidup berhampiran seperti Setia EcoHill Walk dan EcoHill Taipan yang menempatkan pasar raya, restoran, kafe serta pusat kecergasan.

 

Kemudahan lain dalam jarak pemanduan termasuk Mydin Semenyih, Lotus’s, Econsave, Hospital Kajang dan Hospital Pakar KPJ Kajang yang menyokong keperluan harian dan kesihatan penduduk.

 

Dengan gabungan lokasi strategik, konsep pembangunan hijau serta kemudahan menyeluruh, Damaira dilihat memperkukuh lagi penawaran SP Setia dalam segmen kediaman premium di Semenyih. - DagangNews.com