KUALA LUMPUR 24 Dis - Southern Score Builders Berhad mencatat langkah strategik dengan cadangan pengambilalihan kira-kira 33% kepentingan dalam Nova Pharma Solutions (NPS) bernilai RM18.2 juta.
Menurut Phillip Capital, usaha terbaharu oleh kumpulan pembinaan berkenaan sekali gus mencetuskan tawaran pengambilalihan secara tanpa syarat (MTO) ke atas baki saham NPS pada 37 sen sesaham.
Firma penyelidikan tersebut menambah, transaksi pembelian ekuiti ini turut memberi nilai implisit atau tersirat kira-kira 11 kali untuk nisbah harga kepada pendapatan (PER) bagi tahun kewangan 2024.
"Tindakan Southern Score dilihat sebagai positif kerana membolehkan ia meraih projek bernilai tinggi dalam sektor farmaseutikal dan bioteknologi," jelas firma itu dalam notanya hari ini.
Langkah berkenaan kata Phillip Capital, turut meningkatkan margin bersih kumpulan tersebut serta memperkukuhkan lagi tahap keupayaan 'turnkey' syarikat dalam tempoh jangka sederhana dan panjang.
Syarikat tersebut ujarnya, dijangka membiayai pengambilalihan itu dengan menggunakan sumber dana dalaman tanpa membebankan baki akaun, dan mengekalkan gear atau hutang bersih pada 0.15 kali.
Pegangan dalam NPS itu walaupun hanya sebanyak 33% dijangka menambah keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) ke atas Southern Score kira-kira 6% sepanjang FY26 hingga FY28.
"Di samping itu, kami menilai usaha ini meningkatkan keupayaan kumpulan untuk melaksanakan projek 'turnkey' dan mengukuhkan peluang bagi memenangi banyak projek masa depan," jelas Phillip Capital.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, firma tersebut mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran masih 75 sen sesaham, berpandukan sasaran 18 kali pendapatan sesaham (EPS) pada FY27.
Bagaimanapun ia memberi amaran berhubung risiko utama termasuk perubahan dasar kerajaan yang tidak dijangka dan turun naik harga bahan mentah boleh menjejaskan Southern Score. - DagangNews.com








