KUALA LUMPUR 29 April — Southern Score Builders Berhad (SSBB) memperoleh kontrak bernilai RM51.4 juta daripada Gamuda Berhad, untuk menjalankan projek subkontrak pembinaan sebuah pusat data di Elimina Business Park, Selangor.
Firma pengurusan pembinaan bangunan kediaman bertingkat tinggi dan infrastruktur awam itu berkata, kontrak itu dianugerahkan kepada anak syarikatnya, SJEE Engineering Sdn Bhd (SJEE) dengan tempoh kerja 13 bulan bermula Julai 2025.
Projek tersebut katanya, ditawarkan anak syarikat Gamuda, Gamuda Engineering Sdn Bhd (GESB) meliputi Pakej Elektrik 3 bagi pembinaan dan penyiapan termasuk pengujian dan pentauliahan kerja kabel tenaga voltan rendah dibekalkan untuk pusat data.
Ketua Pegawai Eksekutif SSBB, Gan Yee Hin berkata, kontrak berkenaan memperakui bahagian mekanikal dan elektrikal (M&E) kumpulan itu dan kemenangan pertama SJEE sejak pemerolehan 51 peratus ekuitinya selesai pada Januari 2025.
"Kejayaan ini membuktikan kepakaran teknikal mendalam dan rekod prestasi kami kerana ia adalah projek pusat data yang kelapan dikendalikan SJEE dengan buku pesanan tertunggak berjumlah RM130.0 juta," katanya dalam kenyataan.
Selain itu tambahnya, kontrak baharu tersebut memberikan SSBB keterlihatan pendapatan akan datang yang sihat untuk terus meneroka peluang luas dalam sektor teknologi tinggi, pusat data serta penjagaan kesihatan dan farmaseutikal.
Kumpulan tersebut kata Yee Hin, turut memanfaatkan rekod prestasi baik sebelum ini untuk mendapatkan lebih banyak lagi projek baharu selepas berjaya menyelesaikan kerja-kerja yang ditawarkan oleh pelbagai pihak.
Beliau juga melihat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) mewujudkan peluang baharu untuk bahagian M&E SSBB, terutamanya apabila banyak syarikat multinasional sedang meneroka potensi pelaburan besar di kawasan tersebut.
Ini termasuk bidang perubatan dan farmaseutikal serta kecerdasan buatan (AI) kerana kumpulan itu berpengalaman luas lebih 30 tahun dengan memegang lesen G7 dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).
"Secara keseluruhannya, prospek kumpulan adalah cerah dipacu oleh buku pesanan yang sihat untuk kedua-dua bahagian pembinaan dan M&E kami selain disokong kukuh laporan kunci kira-kira syarikat,” kata Yee Hin. - DagangNews.com








