Southern Score catat untung bersih tertinggi pada 1QFY26 cecah RM15 juta, didorong sektor pembinaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Southern Score catat untung bersih tertinggi pada 1QFY26 cecah RM15 juta, didorong sektor pembinaan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Nov - Southern Score Builders Berhad mencatatkan untung bersih pada suku pertama kewangan 2026 tertinggi iaitu RM15.0 juta, berbanding RM7.7 juta pada tempoh sama tahun lalu.


Perkembangan itu disokong sumbangan kukuh segmen pembinaan dan mekanikal & elektrikal (M&E) dengan hasil melonjak 112.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM83.9 juta daripada RM39.5 juta pada 1QFY25.


Kumpulan tersebut jelasnya dalam kenyataan, mencatatkan rekod tertinggi sepanjang sejarah, dengan segmen pembinaan menyumbang kira-kira 64.6% daripada jumlah hasil, manakala M&E sebanyak 35.3%.


"Kejayaan ini berlaku walaupun beberapa projek bersifat 'turnkey' telah siap, dengan sumbangan projek lain yang sedang berjalan turut mengimbangi penurunan berkenaan," kata Southern Score.


Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Gan Yee Hin berkata, pencapaian ini mencerminkan daya tahan dan kekuatan kumpulan dalam menghadapi persekitaran makroekonomi dan operasi mencabar.


Divisyen M&E juga jelas beliau terus menyumbang hasil positif, manakala prospek industri pembinaan tempatan kekal cerah dengan pertumbuhan 13.3% dan nilai kerja disiapkan mencapai RM132.8 bilion.


Ia berjaya dicatatkan syarikat berkenaan dalam tempoh tiga suku pertama 2025, sementara industri pusat data juga berkembang pesat, yang turut memberi peluang tambahan kepada kumpulan tersebut.


"Southern Score kini mempunyai buku tempahan kukuh sebanyak RM1.2 bilion untuk pembinaan dan RM186.6 juta untuk M&E, memberikan kadar keterlihatan pendapatan jangka panjang," kata Yee Hin.


Syarikat tersebut juga jelas beliau, berada dalam kedudukan tunai bersih yang lebih baik apabila mencatatkan situasi aliran tunai bersih per saham sebanyak 1.4 sen.


Dengan peluang tender projek awam dan swasta yang semakin banyak, Lembaga Pengarah yakin SSBB mampu menambah kontrak baharu untuk menyokong pertumbuhan jangka panjang syarikat. - DagangNews.com