KUALA LUMPUR 11 Ogos — Southern Score Builders Berhad, bersedia menonjolkan potensi untuk menjadi kontraktor terbaharu dalam pasaran pusat data (DC) di Malaysia, menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah berkenaan susulan pengambilalihan 51 peratus ekuiti dalam SJEE Engineering, yang memang khusus dalam sistem tenaga kritikal untuk pembangunan DC.
Tambahnya, peranan kontraktor itu memberi penyertaan mendalam dalam segmen DC di Malaysia yang berkembang pesat, serta mengukuhkan pandangan terhadap penilaian semula secara lebih mampan.
"Southern Score berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan pasaran DC tempatan bernilai RM65 bilion, didorong pengembangan kapasiti 4GW yang dirancang," kata Phillip Capital dalam notanya.
Ketika ini kata firma tersebut yang baru memulakan liputan ke atas kumpulan berkenaan mendapati, ia disokong oleh buku tempahan berjumlah RM1.3 bilion dan projek berulang daripada pemaju ternama.
Perkembangan yang cukup positif itu tambahnya, membolehkan syarikat tersebut diramal mencatatkan keuntungan bersih kadar pertumbuhan tahunan 46 peratus dari tahun kewangan (FY) 2024 hingga 2027.
Phillip Capital berkata, Southern Score, yang terkenal dengan projek kediaman bertingkat tinggi dan perkhidmatan siap guna penuh, mempunyai hubungan kukuh dengan banyak pemaju utama tempatan.
"Antaranya Platinum Victory (PV) dan Radium Development Berhad, disokong oleh pegangan saham biasa melalui Gan Yee Hin dan keluarga memegang 14.2% kepentingan dalam kumpulan ini," kata firma itu.
Sejak FY19 tambahnya, Southern Score telah memperoleh lebih RM2 bilion dalam projek daripada PV, yang mewakili kira-kira 50 peratus daripada jumlah penganugerahan kontrak syarikat berkenaan.
Baru-baru ini kata Phillip Capital, Southern Score menerima kontrak sebanyak RM78 juta daripada Radium untuk kerja-kerja menaik taraf kolam tebatan iaitu projek yang pertamanya dengan pemaju.
Walaupun nilai kontrak berkenaan disifatkan adalah sederhana, firma tersebut berkata, ia boleh membawa kepada lebih banyak lagi peluang pekerjaan tambahan diperoleh kumpulan pada masa hadapan.
"Pengambilalihan tanah secara agresif oleh Radium telah melonjakkan jumlah nilai pembangunan kasar yang belum dibilkan kepada RM4.4 bilion, turut memberi kesan kepada Southern Score," katanya.
Angka tersebut kata Phillip Capital, yang mungkin menyamai nilai sebanyak RM2 bilion dalam peluang kerja-kerja pembinaan baharu kepada kumpulan berkenaan untuk tempoh jangka panjang selepas ini.
Berdasarkan kepada perkembangan itu, ia memberikan saranan 'beli' ke atas saham Southern Score dengan harga sasaran diramal 75 sen sesaham. - DagangNews.com








