KUALA LUMPUR 3 Mac — Southern Cable Group Bhd diunjur meraih keuntungan lebih tinggi susulan kesediaannya memanfaatkan permintaan pesanan yang meningkat didorong pengembangan grid nasional dan inisiatif tenaga boleh diperbaharui.
Menurut firma Apex Securities, lonjakan itu turut dibantu ledakan pembinaan dan peningkatan daya tarikan dalam pasaran Amerika Syarikat (AS) serta dipacu pengembangan margin, dengan campuran produk syarikat beralih ke penawaran margin yang lebih tinggi.
"Pencapaian ini juga disokong pembuatan kabel syarikat berkenaan iaitu HV Milliken seluas 1,600 meter persegi yang berada di landasan untuk perolehan pensijilan oleh Tenaga Nasional Berhad pada suku ketiga 2025," katanya dalam nota kajian.
Pada masa ini ujarnya, jumlah pesanan kumpulan tersebut dalam tangan berjumlah RM1.3 bilion, dengan lebih 40 peratus datang daripada pesanan pembelian dan selebihnya daripada buku pesanan, yang mewakili 1.0 kali ganda hasil tahun kewangan 2024 (FY24).
Firma penyelidikan itu malah berkata keuntungan bersih teras Southern Cable sebanyak RM72.3 juta untuk tahun kewangan lepas (FY24) adalah melebihi anggaran syarikat dan konsensus masing-masing pada 105.4 peratus dan 131.8 peratus.
"Perbezaan utama adalah sebahagian besarnya daripada margin yang lebih baik daripada jangkaan dalam segmen kuasa," katanya. Apex Securities menyemak unjuran pendapatan FY25 dan FY26 masing-masing sebanyak 13.4 peratus dan 4.6 peratus.
Ia selepas mengambil kira margin yang lebih baik dalam segmen kabel kuasa disebabkan oleh campuran produk yang menggalakkan dengan didorong permintaan lebih tinggi untuk kabel aluminium dan peningkatan jualan eksport, disokong berterusan pasaran AS.
Bahkan firma tersebut juga memperkenalkan unjuran keuntungan bersih teras FY2027F sebanyak RM124.2 juta dan mengulangi saranan 'Beli' ke atas Southern Cable dengan harga sasaran (TP) yang lebih tinggi iaitu RM1.71.
Ia menambah bahawa harga saham Southern Cable mengalami pembetulan yang ketara dalam dua bulan lalu sejak kerajaan AS sebelumnya di bawah Joe Biden mencadangkan sekatan cip AI, ditambah pula dengan kemunculan teknologi DeepSeek.
“Kami percaya ada tindak balas berlebihan terhadap harga saham, kerana asas syarikat kekal kukuh, disokong oleh aliran hasil pelbagai: 25 hingga 35 peratus daripada kontrak jangka panjang, 10 peratus daripada pasaran eksport," jelasnya.
Sementara baki daripada pesanan pembelian merentas pelbagai sektor. Apex Securities percaya bahawa kelemahan harga saham baru-baru ini memberi peluang kepada pelabur untuk mengumpul pelaburan mereka. - DagangNews.com








