KUALA LUMPUR 4 Sept 2025 – Solarvest Holdings Berhad terus mengukuhkan kedudukan dalam landskap tenaga boleh diperbaharui (RE) tempatan selepas disenarai pendek untuk beberapa projek mega.
Menurut RHB Research, ini termasuk loji solar berskala besar (LSS) 5+ di Larut dan Matang, Perak, sekali gus membuka ruang kepada lonjakan tempahan dalam tahun kewangan yang akan datang (FY26).
Firma penyelidikan tersebut berkata, kontrak meliputi kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) disokong oleh prospek pertumbuhan kukuh dan dasar kerajaan yang proaktif.
"Kami mengekalkan saranan 'beli' ke atas Solarvest dengan harga sasaran baharu RM2.95 berbanding RM2.90, yang menawarkan potensi kenaikan 22%," kata firma berkenaan dalam nota kajian hari ini.
RHB Research menambah, kumpulan itu menerusi penyertaan konsortium bersama Malakoff Corporation Berhad yang memegang 80%, telah disenarai pendek bagi memajukan loji solar berkapasiti 470MWac.
Sekiranya kontrak tersebut diperoleh, ia memberi hasil yang besar kerana jangka hayat perjanjian pembelian tenaga (PPA) selama 21 tahun, dan akan beroperasi secara komersial pada akhir 2027.
RHB Research menjangkakan nilai keseluruhan kontrak EPCC mencecah RM1.2 bilion, manakala Solarvest sendiri dijangka memperoleh satu lagi kontrak EPCC sekurang-kurangnya 30MWac di bawah LSS5+.
"Berdasarkan unjuran kadar pulangan dalaman (IRR) sekitar 7% dan perbelanjaan modal RM1.2 bilion, syarikat ini dijangka menjana hasil RM8 juta menerusi pegangan 20% dalam projek ini," katanya.
Situasi ini berpotensi menyumbang sehingga 8.7% kepada pendapatan tahun kewangan 2028 (FY28), sekali gus menyokong matlamat Solarvest untuk meraih 30% hasilnya daripada sumber berulang.
Setakat 1QFY26 yang berakhir pada 31 Mac 2025, syarikat ini memiliki buku tempahan berjumlah RM1.2 bilion, dengan 77.8% daripadanya terdiri daripada projek utiliti yang berskala besar.
Selebihnya kata RHB Research, dalam segmen komersial, industri dan kediaman, namun firma penyelidikan itu menjangka kontrak EPCC daripada LSS5+ mula dianugerahkan pada suku kedua 2026.
"Ini berpotensi membawa kepada rekod baharu buku tempahan kumpulan. Solarvest juga giat membida sekitar 30% kuota yang ditawarkan dalam fasa LSS5, selain menyertai program lain," tambahnya.
Justeru, firma berkenaan masih mengekalkan unjuran pendapatan FY26 hingga FY27 memandangkan kemenangan kontrak LSS5+ sudah termasuk dalam andaian penyegaran semula tempahan yang sedia ada.
Bagaimanapun katanya, risiko penurunan Solarvest termasuklah kegagalan mendapatkan kontrak baharu, kos projek yang tidak dijangka, serta perubahan dasar kerajaan berkaitan RE. - DagangNews.com








