Solarvest raih satu lagi perjanjian solar daripada TNB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest raih satu lagi perjanjian solar daripada TNB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Mac — Solarvest Holdings Berhad menerusi anak syarikat yang dimiliki 60 peratus, Nextree Synergy Sdn Bhd, memeterai perjanjian pembelian tenaga (PPA) dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).
 

Menerusi perjanjian tersebut, ia akan terlibat dalam usaha pembangunan dan pengendalian kemudahan penjanaan tenaga solar fotovoltaik yang dirancang di bawah program solar berskala besar kelima (LSS5).
 

Nextree akan bertanggungjawab dalam mereka bentuk, membina, memiliki, mengendali dan menyelenggara loji solar 60 megawatt (MW) di Kuala Langat, Selangor.
 

Operasinya dijadualkan bermula pada 8 Oktober 2027, kata kumpulan itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
 

Di bawah perjanjian tersebut, TNB akan membeli tenaga yang dijana dan dijual Nextree menerusi kemudahan itu untuk tempoh 21 tahun dari tarikh operasi komersial, selaras dengan terma dan syarat yang ditetapkan dalam PPA.
 

Pada Isnin, satu lagi anak syarikat milik penuh Solarvest, Atlantic Blue Sdn Bhd (ABSB), berjaya memperoleh kontrak bernilai RM401 juta daripada TNB Kuala Muda Solar Sdn Bhd.
 

Kontrak tersebut diberikan melalui proses pembidaan yang kompetitif.
 

Projek itu akan meliputi kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk loji solar fotovoltaik berskala besar 500MWac di bawah program LSS5 di Bukit Selambau, Kedah.
 

ABSB dijadualkan memulakan kerja awal selepas menerima kontrak, dengan dijangka siap pada 31 Julai 2027. - DagangNews.com