KUALA LUMPUR 18 Mac – Solarvest Holdings Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Atlantic Blue Sdn. Bhd., (ABSB) telah menandatangani kontrak Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC) bagi pembangunan loji solar fotovoltaik di bawah Program Solar Skala Besar (“LSS5+”) di Padang Siding, Perlis.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu memberitahu kontrak berjumlah RM89.5 juta membabitkan pembinaan loji solar dengan kapasiti 36.00MWac itu ditandatangani dengan Jubli Pasifik Sdn. Bhd. (JPSB) pada 18 Mac 2026.
Katanya, ABSB akan memulakan kerja selepas menerima Notis untuk Mula daripada JPSB dan dijangka menyiapkan projek menjelang 26 Februari 2028, tarikh operasi komersial yang dijadualkan.
"Bagi menjamin pelaksanaan projek, ABSB akan menyediakan Bon Prestasi sebanyak 5% daripada jumlah kontrak selama tempoh kontrak, yang kemudiannya akan digantikan dengan Bon Jaminan sebanyak 2.5% selepas tarikh operasi komersial, dengan tempoh jaminan selama 24 bulan," kata kenyataan itu.
Lembaga Pengarah Solarvest berkata, penerimaan kontrak EPCC ini dijangka menyumbang positif kepada aset bersih dan pendapatan sesaham kumpulan untuk tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 dan seterusnya sehingga projek selesai.
Syarikat juga menegaskan bahawa tiada risiko luar biasa dijangka selain risiko operasi biasa yang berkaitan kontrak, dan langkah-langkah mitigasi akan diambil mengikut keperluan.
Selain itu, tiada pengarah atau pemegang saham utama Solarvest yang mempunyai kepentingan langsung atau tidak langsung dalam kontrak ini.
“Lembaga Pengarah berpendapat bahawa kontrak EPCC ini adalah sebahagian daripada kegiatan perniagaan biasa kumpulan dan pelaksanaan kontrak ini adalah demi kepentingan terbaik Solarvest,” kata kenyataan itu.
Projek ini dijangka mengukuhkan kedudukan Solarvest dalam sektor tenaga solar, selari dengan strategi kumpulan untuk terus membangunkan portfolio projek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia. - DagangNews.com








