KUALA LUMPUR 1 Dis – Solarvest Holdings Berhad terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) apabila berjaya memperoleh kontrak baharu yang bernilai RM142.3 juta.
Menurut Maybank Investment Bank, ia sekali gus melonjakkan buku tempahannya ke paras tertinggi baharu iaitu RM1.8 bilion, selepas meraih kontrak terkini daripada Citra Energies Sdn Bhd minggu lalu.
Katanya, ia melibatkan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bagi ladang solar berkapasiti 30MW di Kulim, Kedah di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).
"Projek ini dijangka siap menjelang suku kedua tahun 2027 dan kami menganggarkan margin keuntungan sebelum cukai (PBT) sekitar 8% bagi kontrak solar berskala utiliti," jelasnya dalam nota kajian.
Tambah Maybank IB, perkembangan tersebut bakal menyumbang anggaran PBT sebanyak RM11.3 juta sepanjang FY27 hingga FY28, dan pencapaian buku tempahan itu bersamaan 3.9 kali hasil EPCC FY25.
Situasi positif berkenaan ujarnya, memberikan kejelasan pendapatan kukuh untuk tempoh FY26 hingga FY28, dengan jumlah kemenangan kontrak baharu Solarvest sudah mencecah RM1.3 bilion setakat ini.
Kumpulan itu katanya, kini berpotensi melepasi sasaran dalaman RM2 bilion lebih awal daripada ramalan, dan ia turut menjangkakan pemuktamadan kontrak EPCC bagi projek bersama Malakoff Berhad.
"Menerusi kontrak ini, Solarvest memegang 20% kepentingan, yang akan melonjakkan buku tempahan syarikat berkenaan kepada RM3 bilion menjelang akhir tahun kewangan 2025," jelas Maybank IB.
Seiring dengan kemenangan kontrak yang selaras dengan andaian penambahan RM2.5 bilion bagi FY26, firma itu mengekalkan unjuran pendapatan serta saranan 'beli' dengan harga sasaran RM3.54 sesaham.
Kumpulan itu kata terus menjadi pilihan utama sektor RE bagi firma tersebut kerana penguasaan pasaran melebihi 30% dan kedudukan sebagai penerima manfaat utama agenda peralihan tenaga. - DagangNews.com








