KUALA LUMPUR 16 Jun — Solarvest Holdings Berhad, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Atlantic Blue Sdn Bhd memperoleh projek solar nasional terbesar Brunei melalui syarikat usaha sama negara tersebut, Seri Suria Power (Brunei) Sdn Bhd.
Kedua-dua pihak tersebut kemudian membentuk kerjasama dengan Serikandi Oilfield Services Sdn Bhd dan Khazanah Satu Sdn Bhd, manakala projek ditetapkan untuk bermula pada suku ketiga 2025 serta perlu disiapkan menjelang akhir tahun depan.
Pelantikan itu turut membenarkan Seri Suria Power untuk melabur, membina dan mengendalikan Loji Kuasa Fotovoltaik Solar 30MW (SPVPP) yang terletak di tapak pelupusan sampah seluas 33.29 hektar di Kampong Belimbing, Mukim Kota Batu.
"Premis ini dijangka menjadi SPVPP terbesar di Brunei, menjana keluaran 4,473,000 kWj setiap tahun, dengan potensi mengimbangi kira-kira 645,000 MMBtu gas asli dan 92 juta tan karbon dioksida," kata Solarvest dalam kenyataan.
Projek solar tersebut tambahnya, telah dirasmikan pada 14 Jun 2025, berikutan pemeteraian sebanyak tiga perjanjian penting antaranya ialah perjanjian usaha sama antara Khazanah Satu, Serikandi Oilfield Services dan Atlantic Blue.
Selain itu katanya, turut dimeterai ialah perjanjian pajakan tanah antara Seri Suria Power dengan Kerajaan Brunei yang diwakili oleh Jabatan Tenaga, Pejabat Perdana Menteri serta perjanjian pembelian tenaga selama 25 tahun.
Ia melibatkan Seri Suria Power dan Kerajaan Brunei yang diwakili oleh Jabatan Perkhidmatan Elektrik, Pejabat Perdana Menteri dengan majlis menandatangani itu disempurnakan oleh beberapa menteri negara berkenaan sendiri.
"Projek ini sebenarnya bermula daripada proses Permintaan Cadangan (RFP) yang dilancarkan oleh Brunei pada 2021, serta menarik minat luas daripada banyak pemaju solar tempatan dan antarabangsa," kata kenyataan Solarvest.
Sebagai sebahagian daripada keperluan RFP, pemaju yang mengambil bahagian diberi mandat membentuk usaha sama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memastikan penyertaan nasional dan pembinaan kapasiti.
Langkah berkenaan tambah kumpulan pemaju infrastruktur tenaga hijau itu, mewujudkan keyakinan terhadap keupayaan Brunei untuk mencapai aspirasi negara dengan penjanaan 30 peratus campuran tenaga boleh diperbaharui.
Inisiatif ini sejajar dengan komitmen Brunei mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 20 peratus menjelang 2030 dan menyokong kepelbagaian sumber dalam sektor tenaga sambil mengurangkan pergantungan bahan api fosil.
"Sebagai tambahan kepada faedah alam sekitar, SPVPP turut menjana peluang baharu untuk perniagaan tempatan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi tempatan melalui pelbagai aktiviti berkaitan dengannya," kata Solarvest.
Pengerusi dan Pengarah Urusan Serikandi Oilfield Services, Shaikh Khalid Shaikh Ahmad berkata, pihaknya memuji langkah ke hadapan kerajaan Brunei dan rangka kerja pengawalseliaan yang menyokong perkembangan tersebut.
Usaha itu memastikan pelaksanaan berkesan pelan peralihan tenaga bersih negara di samping pelbagai inisiatif diperkenalkan selama ini, serta mengesahkan komitmen syarikat ke arah laluan progresif ekonomi dinamik dan mampan.
"Ia sejajar dengan aliran ekonomi global semasa serta dengan pengalaman luas kami menyediakan perkhidmatan kejuruteraan dan pembinaan dalam industri minyak dan gas, Serikandi berada pada kedudukan baik merebut peluang ini," katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Strategi Kumpulan Solarvest, Leon Liew Chee Ing berkata, pada 2024, penggunaan elektrik seluruh Brunei berjumlah 3,242 GWj, dengan 95 peratus dijana daripada bahan api fosil.
Perkembangan itu menyerlahkan keperluan mendesak untuk peralihan tenaga bersih dan komitmen kerajaan Brunei terhadap tenaga boleh diperbaharui sebagai benar-benar dipuji, memandangkan kelimpahan bahan api fosil negara itu.
"Pencapaian ini menandakan detik membanggakan bagi kami menyokong perjalanan Brunei ke arah masa depan tenaga lebih mampan serta kami berbesar hati memainkan peranan menyampaikan inisiatif solar terbesar negara," katanya. - DagangNews.com








