Solarvest, HSS, Shizen dapat insentif hijau MIDA bagi projek solar di Kedah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest, HSS, Shizen dapat insentif hijau MIDA bagi projek solar di Kedah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 April — Solarvest Holdings Berhad dan HSS Engineering Sdn Bhd, bersama rakan kongsi dari Jepun, Shizen Malaysia Sdn Bhd menerima kelulusan insentif Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).


Perolehan khas itu melibatkan projek solar di Kedah di bawah SM01 Sdn Bhd dan menandakan langkah penting dalam usaha Malaysia untuk menggalakkan pelaburan mampan serta mempamerkan kerjasama antarabangsa dalam memaujukan prasarana tenaga bersih.


GITA merupakan satu inisiatif strategik kerajaan bagi mempromosikan pelaburan dalam teknologi hijau manakala projek solar fotovoltaik (PV) 29.99MWac di negeri tersebut bakal mendapat manfaat daripada pulangan kewangan dipertingkatkan dan daya maju lebih baik.


"SM01 merupakan projek Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP) yang dimiliki bersama-sama oleh Shizen Malaysia (49%), dengan anak syarikat Solarvest iaitu Solarvest Asset Management Sdn Bhd, (33%), dan baki dipegang HSS (18%)," katanya dalam satu kenyataan. 


Majlis penyerahan rasmi GITA itu diadakan di Pavilion Malaysia dalam Ekspo 2025 Osaka, Jepun dengan disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pelaburan), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Bahria Mohd Tamil.


Shizen Malaysia merupakan anak syarikat Shizen Energy Inc, sebuah firma tenaga boleh diperbaharui (RE) terkemuka dari Jepun, yang cukup dikenali dengan kepakarannya dalam aspek pembangunan tenaga hijau berasaskan kepada solar dan angin di seluruh benua Asia. 


Kerjasama dengan Shizen Malaysia menyerlahkan komitmen Solarvest memupuk perkongsian secara rentas sempadan yang membawa kepada inovasi terbaik bertaraf dunia serta usaha pemerkasaan penjagaan alam sekitar ke Malaysia.


Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, syarikat itu berbesar hati menerima kelulusan GITA daripada MIDA, yang menggariskan keyakinan kerajaan terhadap keupayaan dan komitmen terhadap tenaga bersih.


"Insentif berkenaan juga meningkatkan kemampanan kewangan projek SM01 dan menunjukkan tahap nilai kerjasama berstatus antarabangsa, terutamanya dengan infrastruktur tenaga diperbaharui kami yang cukup dihormati oleh pelbagai pihak," katanya.


Beliau berkata, Solarvest kekal menumpukan pada usaha penyampaian projek tenaga bersih yang berkesan, boleh dipercayai dan berdaya maju secara komersial di Malaysia dengan memanfaatkan perkongsian antarabangsa dan rumusan dipacu inovasi.


Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Promosi dan Pemudahcara Pelaburan MIDA, Sivasuriyamoorthy Sundara Raja yang turut hadir pada acara tersebut berkongsi visi projek SM01 yang sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap pembangunan mampan.


Ia mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama untuk pelaburan hijau di rantau ASEAN dan selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan yang menunjukkan sasaran kepada matlamat rendah karbon negara ini pada masa depan.


"MIDA kekal komited memudahkan inisiatif hijau berimpak tinggi sedemikian yang bukan sahaja menyumbang kepada kemampanan alam sekitar tetapi memacu pertumbuhan ekonomi dan kemajuan teknologi dalam sektor RE di Malaysia," katanya. - DagangNews.com