KUALA LUMPUR 11 Jun — Solarvest Holdings Berhad diyakini bersedia untuk mencatat hasil perniagaan yang diunjur lebih kukuh berikutnya untuk tahun kewangan 2026, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia berdasarkan kepada keputusan cemerlang direkodkan kumpulan itu bagi tahun kewangan 2025 yang berakhir pada 31 Mac 2025 dengan disokong lonjakan dalam tempahan tidak dibilkan.
Setakat ini, buku tempahan yang belum dibil oleh syarikat perkhidmatan tenaga solar berkenaan sudah pun meningkat sebanyak lima kali ganda daripada RM242 juta pada suku keempat FY24 kepada RM1.2 bilion pada 4QFY25.
"Kami menjangkakan satu lagi tahun kewangan terbaik Solarvest menjelang FY26, didorong pertumbuhan teguh buku tempahan dan pentauliahan aset menjelang bahagian akhir FY26," kata HLIB Research dalam nota kajiannya
Selain itu, firma berkenaan turut percaya pelaksanaan pelbagai kontrak menerusi Program Tenaga Hijau Korporat akan bermula ke tahap yang lebih tinggi pada FY26 dan seterusnya memberi kesan positif kepada kumpulan.
Ia juga menjangkakan permulaan projek kerajaan di bawah fasa kelima inisiatif Solar Skala Besar (LSS5) boleh meningkatkan hasil kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan Solarvest pada tempoh separuh kedua 2026.
Pengurusan Solarvest sendiri tambah HLIB Research, sedang berusaha untuk memenangi lebih banyak kontrak selanjutnya ditawarkan pelbagai pihak daripada beberapa skim LSS5 dalam tempoh terdekat.
Kumpulan tersebut tambah firma penyelidikan tersebut, secara konsisten berjaya mengekalkan bahagian pasaran minimum sebanyak 30 peratus dalam empat fasa inisiatif LSS yang sebelumnya.
Secara berasingan, pembidaan LSS6 ditetapkan untuk dimulakan pada suku kedua dan ketiga tahun ini, dengan kuota yang tersedia dikatakan adalah lebih besar, antara dua gigawatt dan empat gigawatt.
“Justeru, kami menganggap unjuran Solarvest melebihi RM2 bilion dalam tempahan yang tidak dibilkan pada FY26 adalah konservatif, melihat kepada kontrak sedia ada dan rekod prestasi cemerlangnya,” kata HLIB Research.
Firma berkenaan masih lagi mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham kumpulan itu dengan harga sasaran tidak berubah kepada RM2.25 sesaham. - DagangNews.com








