KUALA LUMPUR 17 Jun — Solarvest Holdings Berhad dibimbangi masih terdedah kepada risiko kelemahan sekiranya terlalu bergantung kepada projek solar inisiatif kerajaan sahaja, kata RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan pemaju infrastruktur tenaga hijau itu turut dilihat hanya memberi lebih tumpuan kepada dasar kerajaan dalam pembangunan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Situasi berkenaan katanya, dikhuatiri boleh memperlahankan momentum pertumbuhan buku tempahan kerja selepas kejayaannya memperoleh kontrak projek solar nasional terbesar di Brunei pada 14 Jun 2025.
"Keadaan ini kemungkinan boleh menjejaskan hasil kumpulan dalam jangka panjang selain ia perlu berdepan dengan risiko besar persaingan yang sengit," kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Semalam, Solarvest memaklumkan anak syarikatnya, Atlantic Blue Sdn Bhd menerima projek di Brunei melalui pembentukan syarikat usaha sama dari negara tersebut, Seri Suria Power (Brunei) Sdn Bhd.
Mereka bakal melabur, membina dan mengendalikan Loji Kuasa Fotovoltaik Solar 30MW seluas 33.29 hektar di Kampong Belimbing, Mukim Kota Batu yang turut merupakan premis RE terbesar di Brunei.
Loji itu akan menjana keluaran 4,473,000 kWj setiap tahun yang akan dibeli kerajaan negara tersebut selama 25 tahun sejajar komitmen Brunei mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 20 peratus.
Kejayaan itu juga membuktikan keupayaannya meneroka peluang di luar negara kerana selama ini ia menonjol dalam projek solar berskala besar ditawarkan kerajaan menerusi pelbagai agensi di Malaysia.
Mengulas lanjut, RHB Research berkata, Solarvest turut dikenal pasti berisiko mengalami peningkatan kos projek secara tidak dijangka menerusi projek di Brunei yang dianggarkan bernilai RM115.82 juta.
"Bagaimanapun, kami menganggarkan projek ini boleh menyumbang hasil sehingga RM3 juta setahun dengan kadar penggearan bersih dianggarkan meningkat kepada 0.21 kali ganda," kata firma itu.
Secara umum katanya, pihak pengurusan yakin ia berpotensi memberi hasil positif menerusi pembiayaan berstruktur pada nisbah hutang kepada ekuiti 70:30 dengan Solarvest memiliki 34% kepentingan.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, RHB Research mengekalkan saranan "beli" dan menaikkan harga sasaran sesaham kumpulan tersebut kepada RM2.37 berbanding RM2.33 sebelum ini. - DagangNews.com








