Solarvest berpotensi terima projek tenaga hijau bernilai lebih RM18 billion - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest berpotensi terima projek tenaga hijau bernilai lebih RM18 billion - HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Mac - Solarvest Holdings Berhad berpotensi menerima lebih banyak projek tenaga hijau selepas meraih program solar berskala besar (LSS) iaitu LSS5+ dan LSS6 yang diunjurkan menjana jumlah nilai kira-kira RM15 bilion hingga RM18 billion, menurut HLIB Research.
 

Firma penyelidikan tersebut berkata, selain itu syarikat berkenaan ketika ini diramalkan menjadi penerima utama pelancaran kontrak sebagai pemaju kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang dijadualkan dalam tempoh dua tahun akan datang.
 

Perkembangan positif itu mengekalkan kitaran pertumbuhan buku pesanan Solarvest di samping firma tersebut menyatakan, mungkin terdapat peningkatan lagi pada anggaran ini jika keperluan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) dimasukkan ke dalam LSS6.
 

"Kuota tersedia daripada hanya LSS5 dan 5+ akan mengurangkan had skala utiliti terkumpul yang diberi di bawah LSS1-4 & CGPP. Ini petunjuk jelas Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) mempercepatkan usaha kapasiti solar," katanya dalam satu nota kajian.
 

Justeru HLIB berpandangan, ruang utama daripada peruntukan Tempoh Kawal Selia 4 (RP4) (2025 hingga 2027) Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dilulus kerajaan sebanyak RM42.8 bilion akan memudahkan kadar pertumbuhan kapasiti di atas trend dalam beberapa tahun akan datang.
 

Ia lebih baik berbanding kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) bagi tenaga solar serta Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) sebanyak 14 peratus serta mengekalkan saranan "Beli" ke atas Solarvest, dengan harga sasaran (TP) bagi syarikat berkenaan adalah RM2.25 sesaham.
 

"Pandangan positif kami disokong oleh penambahan kuota secara kerap kepada program pemeteran tenaga bersih (NEM) sedia ada serta Skim Suria Tenaga Diperbaharui Komersial dan Industri (CRESS) yang bersedia untuk tarikan selanjutnya apabila pusat data beroperasi," katanya.

 

Firma penyelidikan tersebut turut menyatakan bahawa kontrak terbaharu Solarvest mengekori rapat selepas menerima penganugerahan kontrak penting sebanyak RM401 juta pada minggu lepas yang meningkatkan buku pesanan tertunggak syarikat berkenaan kepada RM1.38 bilion.
 

Ini mewakili liputan tiga kali ganda yang besar daripada hasil tahun kewangan 2024 (FY24) manakala buku pesanan syarikat telah berkembang sebanyak 57 peratus dalam tempoh tiga bulan lalu, dirangsang oleh kitaran kontrak LSS5 EPCC.
 

Selain itu, HLIB terus meramalkan peluang pertumbuhan buku pesanan dalam tempoh terdekat yang muncul daripada program LSS5 selanjutnya. - DagangNews.com