Solarvest, A1Health bekerjasama pasang sistem solar PV di 4 lagi hospital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solarvest, A1Health bekerjasama pasang sistem solar PV di 4 lagi hospital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Mac — Solarvest Holdings Berhad terus melaksanakan perkongsian strategik dengan kumpulan Asia OneHealthcare (A1Health) bagi mempercepatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam sektor penjagaan kesihatan swasta Malaysia.
 

Menerusi kerjasama berkenaan, pemaju infrastruktur tenaga bersih itu akan memasang sistem solar fotovoltaik (PV) di empat lagi hospital di bawah A1Health selepas berjaya membangunkan kemudahan yang sama melibatkan 14 hospital.
 

Kali ini, ia merangkumi Pusat Perubatan Ara Damansara, Pusat Perubatan Bukit Tinggi, Pusat Perubatan ParkCity dan Pusat Perubatan Subang Jaya dengan kedua-dua pihak turut giat meneroka pengembangan lebih lanjut di seluruh negara.
 

"Kerjasama ini dibina berdasarkan rekod prestasi kukuh Solarvest dalam industri, setelah berjaya membangunkan infrastruktur solar di 14 hospital di bawah A1Health, termasuk 10 Hospital Columbia Asia," kata Solarvest dalam kenyataan.
 

Dengan tambahan pemasangan solar sebanyak 611 kWp, empat hospital itu dijangka menjana hampir 800,000 kWj tenaga bersih setiap tahun dan sehingga kini, A1Health sudah memiliki penjanaan PV solar terkumpul melebihi 5 juta kWp.
 

Usaha tersebut bakal mengukuhkan lagi komitmen Solarvest dalam rumusan RE untuk industri penjagaan kesihatan dengan peralihan kepada tenaga solar ini dijangka mampu memberikan penjimatan kos sebanyak lebih daripada RM2.7 juta.
 

Pada masa sama, kata kenyataan tersebut, langkah pemasangan itu mengurangkan kira-kira 3,200 tan pelepasan karbon setiap tahun dan menjadikan kecekapan tenaga sebagai penting untuk daya tahan dan kemampanan operasi hospital.
 

Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, premis penjagaan kesihatan beroperasi sepanjang masa dengan penggunaan tenaga elektrik dua hingga tiga kali lebih daripada bangunan komersial.
 

"Memandangkan sektor ini di Malaysia menyumbang kira-kira lima peratus daripada jumlah permintaan elektrik negara, kerjasama kami dengan A1Health menyerlahkan komitmen dalam memajukan penggunaan tenaga bersih merentas sektor," katanya.
 

Dengan menyepadukan infrastruktur tenaga bersih ke dalam industri penjagaan kesihatan, hospital boleh mengurangkan kos elektrik sehingga 30 peratus di samping mengurangkan pelepasan karbon dengan ketara sebanyak ribuan tan metrik setiap tahun.
 

Ketua Kumpulan, Pemasaran, Komunikasi dan Kelestarian A1Health, Mandy Phan pula berkata, perkongsian itu menandakan satu langkah penting dalam menyepadukan penyelesaian RE ke dalam operasi dan, mengukuhkan komitmen pengurangan pelepasan karbon.
 

"Ini memacu kecekapan kos jangka panjang dan kami mengukuhkan tanggungjawab alam sekitar dengan memastikan ekosistem penjagaan kesihatan mampan memberi manfaat kepada pesakit, kakitangan dan komuniti," katanya. - DagangNews.com