Solar dijangka jana 58% kapasiti sektor tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050 - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Solar dijangka jana 58% kapasiti sektor tenaga boleh diperbaharui menjelang 2050 - MBSB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Dis — Solar dijangka menjadi enjin pertumbuhan utama kepada sektor tenaga boleh diperbaharui (RE), yang menyumbang 58% daripada kapasiti tenaga negara menjelang 2050.


Menurut MBSB Research, pertumbuhan ini dipacu dasar struktur menyokong trajektori penyahkarbonan, peluang kontrak jangka panjang, dan peningkatan penembusan sistem solar berskala besar (LSS).


Sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) turut dikenal pasti mampu menjana perkembangan itu dan ia dapat dilihat pada 19 Disember 2025 menerusi beberapa pengumuman penting dalam sektor RE negara.


"Suruhanjaya Tenaga (ST) turut ada bidaan program LSS PETRA 5+ dengan kapasiti keseluruhan 1,975 MWac menerusi Perjanjian Jual Beli Tenaga (PPA) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB)," katanya.


Firma penyelidikan tersebut menambah, projek selama tempoh 21 tahun ini dijangka menyumbang hasil berulang selepas pelaksanaan bermula pada 2027, dengan peluang kontrak sehingga RM5.9 bilion.


MBSB Research turut menekankan penambahbaikan Solar ATAP oleh kementerian berkaitan, termasuk penghapusan kuota tetap dan kapasiti pemasangan secara maksimum sehingga 100% daripada permintaan.


Situasi itu membolehkan peningkatan kapasiti untuk premis domestik fasa tiga daripada 12.5kW kepada 15kW, yang dijangka menyokong pertumbuhan solar domestik dan memastikan kestabilan grid.


"Selain itu, program MyBeST diumumkan dengan empat projek BESS berskala grid 100MW/400MWh untuk siap pada 2027, dengan pemenang terbesar ialah ERS Energy Sdn Bhd menerusi dua projek," katanya.


Projek ini kata MBSB Research, walaupun kecil pada skala kumpulan, dijangka membina aset hasil berulang dan menjadi rujukan bagi peluang masa depan di bawah skim bekalan RE korporat (CRESS).


Ia mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor RE, menekankan solar sebagai enjin pertumbuhan dengan jangkaan bahagian kapasiti boleh meningkat daripada 25% pada 2035 kepada 58% pada 2050.


Kadar pertumbuhan tahunan gabungan pula dijangka 14% antara 2025 hingga 2050, manakala pilihannya ialah Gamuda dengan harga sasaran (TP) RM6.35, Pekat (TP RM2.00) dan Samaiden (TP RM1.70).


"Kami turut menekankan BESS menjadi kritikal bagi menstabilkan grid apabila penembusan solar meningkat, sekali gus menyokong pertumbuhan berterusan syarikat solar dan pemilik aset RE," katanya. - DagangNews.com