SMTrack mohon pengecualian Bursa Malaysia daripada status GN3 dan syarikat terjejas operasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SMTrack mohon pengecualian Bursa Malaysia daripada status GN3 dan syarikat terjejas operasi

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 14 AprilSMTrack Berhad berdepan tekanan berganda apabila menerima status Nota Panduan 3 (GN3), selain turut diklasifikasikan Bursa Malaysia sebagai syarikat yang terjejas operasi.


Kumpulan tersebut berkata, ia mencetuskan kriteria GN3 di bawah Peraturan 2.1(c) selepas mencatat kerugian terkumpul yang mencecah RM46.76 juta bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2024.


Jumlah itu melebihi ekuiti pemegang saham kira-kira RM45.73 juta, selain kerugian bersih RM30.95 juta bagi tempoh tersebut adalah lebih 50% tinggi berbanding kerugian RM15.81 juta dicatatkan sebelumnya.


"Berdasarkan laporan kedudukan kewangan, ekuiti pemegang saham kumpulan ini juga berada di bawah 50% daripada modal saham syarikat," jelas SMTrack dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.


Dalam perkembangan berkaitan, ia turut mencetuskan Peraturan 8.03A selepas merekodkan hasil hanya RM2.99 juta bagi tempoh kewangan berakhir 31 Disember 2025, iaitu kurang daripada 5% modal saham.


Keadaan tersebut sekali gus menunjukkan tahap operasi yang tidak signifikan, dan sehubungan itu, syarikat akan mengemukakan permohonan rayuan kepada Bursa Malaysia untuk mendapatkan pengecualian.


Langkah berkenaan tambah SMTrack, membolehkan kumpulan itu supaya tidak diklasifikasikan sebagai syarikat yang terjejas operasi di bawah kedua-dua peraturan yang ditetapkan oleh bursa tersebut.


“Lembaga pengarah kumpulan ini yakin usaha-usaha yang sedang dilaksanakan ketika ini masih mampu menstabilkan prestasi kewangan kumpulan pada masa hadapan,” katanya menerusi makluman itu.


Syarikat berkenaan turut memaklumkan mengenai cadangan pengurangan modal yang diumumkan sebelum ini dijangka dapat membantu dalam memperbaiki kedudukan kewangan kumpulan tersebut sendiri.


SMTrack jelasnya, akan membuat pengumuman selanjutnya dari semasa ke semasa berhubung perkembangan terkini selaras dengan keperluan penyenaraian Bursa Malaysia. - DagangNews.com