SkyLounge Xpress rasmi beroperasi di Subang SkyPark, tingkatkan pengalaman perjalanan domestik bertaraf premium | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SkyLounge Xpress rasmi beroperasi di Subang SkyPark, tingkatkan pengalaman perjalanan domestik bertaraf premium

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 7 Nov – Penumpang domestik yang berlepas dari Subang SkyPark kini boleh menikmati pengalaman pra-penerbangan bertaraf premium menerusi pembukaan SkyLounge Xpress, sebuah ruang istirahat moden dan bergaya yang terletak di ruang berlepas domestik Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah.

 


Menurut Eight Valuations Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Naza yang menguruskan kemudahan tersebut, SkyLounge Xpress direka dengan sentuhan moden dan elegan, memperkenalkan konsep “ekspres” yang menggabungkan fungsi serta gaya kontemporari bagi memenuhi keperluan penumpang masa kini.

 


“Ruang ini sesuai untuk penumpang yang ingin menikmati kopi, menyiapkan tugasan terakhir atau sekadar berehat seketika sebelum berlepas. Kami mahu setiap pengunjung merasai pengalaman yang tenang, selesa dan efisien sebelum menaiki pesawat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 


Dengan keluasan kira-kira 2,225 kaki persegi, SkyLounge Xpress mampu menampung sehingga 80 tetamu pada satu masa, menawarkan sajian ringan percuma, Wi-Fi berkelajuan tinggi, kemudahan pengecasan peranti serta ruang kerja moden yang mesra pengguna.

 


Tambah syarikat itu lagi, pengenalan SkyLounge Xpress merupakan sebahagian daripada usaha Kumpulan Naza memperkukuh kehadirannya dalam sektor gaya hidup dan hospitaliti di Malaysia, di samping menyokong inisiatif pembangunan semula Subang SkyPark di bawah Pelan Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) yang dilaksanakan bersama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Subang SkyPark Sdn. Bhd.

 


“Pembukaan SkyLounge Xpress menandakan satu lagi langkah penting dalam merealisasikan visi kami untuk menjadikan Subang SkyPark sebagai hab perjalanan gaya hidup yang moden dan dinamik,” katanya lagi.

 


SkyLounge Xpress kini dibuka kepada semua penumpang domestik, menawarkan alternatif lebih selesa dan eksklusif kepada pengembara yang menghargai gaya dan keselesaan dalam setiap perjalanan mereka. - DagangNews.com