SkyGate jual kilang di Pulau Pinang berharga RM39.8 juta kepada Ambu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SkyGate jual kilang di Pulau Pinang berharga RM39.8 juta kepada Ambu

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 29 Okt – SkyGate Solutions Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai Ewein Bhd menjual salah satu kilangnya di Pulau Pinang kepada syarikat peralatan perubatan dari Denmark, Ambu AS dengan nilai RM39.8 juta.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, SkyGate berkata, perjanjian jual beli bersyarat itu dimeterai antara anak syarikat milik 98%nya, SkyGate Integration Sdn Bhd dan Ambu Sdn Bhd bagi penjualan tanah pajakan seluas 1.8 ekar bersama sebuah bangunan kilang.

 

Syarikat kejuruteraan dan hartanah perindustrian itu berkata, hasil daripada penjualan aset berkenaan akan digunakan untuk menjana modal bagi dilaburkan semula dalam projek berpotensi tinggi yang dapat meningkatkan keuntungan kumpulan pada masa hadapan. 

 

Bagaimanapun, SkyGate tidak memperincikan butiran mengenai penggunaan hasil jualan tersebut.

 

SkyGate berkata, harga jualan RM39.8 juta itu ditetapkan berdasarkan keadaan pasaran semasa dan atas dasar persetujuan antara pembeli serta penjual (willing buyer, willing seller), selepas mengambil kira lokasi strategik tanah tersebut. 

 

Tiada penilaian rasmi dijalankan bagi menentukan harga berkenaan.

 

SkyGate Integration membeli kilang tersebut yang terletak di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada April 2017 dengan harga RM15.2 juta.

 

Syarikat itu menjangkakan urus niaga berkenaan akan dimuktamadkan menjelang Julai 2026.

 

Ambu, yang diasaskan di Denmark pada tahun 1937 adalah syarikat global dalam bidang peralatan perubatan yang membangunkan produk endoskopi guna tunggal, peralatan diagnostik dan alat sokongan hayat.

 

Dalam perkembangan lain, SkyGate sebelum ini sudah meningkatkan pegangan sahamnya dalam SkyGate Integration daripada 51% kepada 98% tahun ini, melalui pembelian tambahan saham daripada pengasas SkyGate Integration, Ong Chee Fui, dengan nilai RM9.8 juta menerusi penerbitan saham baharu yang diselesaikan pada Ogos lalu.

 

Pegangan awal sebanyak 51% dalam SkyGate Integration diperoleh pada Mei lalu dengan bayaran tunai RM10.71 juta. Baki 2% pegangan dalam SkyGate Integration dimiliki oleh Sharp Capital Sdn Bhd, yang dimiliki oleh Lee Koh Yung. - DagangNews.com