KUALA LUMPUR 5 Mei — Kebergantungan tinggi kepada pasaran China dan Taiwan yang menyumbang lebih 90% hasil kumpulan itu menjadi risiko kritikal kepada SkyeChip Berhad, menurut TA Securities.
Firma itu berkata, dalam persekitaran global tidak menentu, sebarang perubahan dasar, ketegangan geopolitik atau gangguan rantaian bekalan di dua negara tersebut boleh memberi kesan langsung.
Ujarnya, kumpulan tersebut dilihat mengutamakan di China dan Taiwan memandangkan kebergantungan hasil yang besar kepada prestasi kewangan syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC) itu sendiri.
"Keadaan ini menjadikan profil risiko SkyeChip adalah lebih sensitif kepada faktor luaran,” kata TA Securities dalam notanya bersempena penyenaraian tawaran awam permulaan (IPO) pada 20 Mei 2026.
Secara keseluruhan, kumpulan berkenaan menerbitkan sejumlah 400 juta saham baharu pada harga 88 sen sesaham, sekali gus memberikan penilaian pasaran sekitar RM1.6 bilion apabila didagangkan kelak.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut menilai syarikat berkenaan pada harga wajar RM1.18 sesaham berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PE) 35 kali bagi unjuran pendapatan 2027.
Sebagai syarikat reka bentuk IC tanpa fasiliti fabrikasi, SkyeChip jelas TA Securities, banyak memberi tumpuan kepada pembangunan harta intelek (IP) silicon serta rumusan cip tersuai (ASIC).
"Model ini dilihat sebagai berskala tinggi kerana IP yang dibangunkan boleh dilesenkan kemudian kepada pelbagai pelanggan, sekali gus menyokong pertumbuhan secara berulang," tambahnya lagi.
Syarikat berkenaan juga ujar firma penyelidikan tersebut, sudah mempunyai sejumlah 36 paten yang berdaftar di Malaysia, China dan Amerika Syarikat (AS), dengan 77 lagi dalam proses permohonan.

TA Securities juga kekal positif terhadap prospek industri semikonduktor global yang dijangka mencecah nilai AS$1 trilion (RM3.96 trilion) pada akhir tahun ini dipacu oleh permintaan kukuh.
Seiring itu, SkyeChip merancang membangunkan cip berkaitan kecerdasan buatan (AI), platform unit pemprosesan berprestasi tinggi dan teknologi pembungkusan termaju bagi meraih peluang pasaran.
"Kami mengunjurkan keuntungan bersih naik kepada RM46.3 juta pada FY26, diikuti RM54.0 juta (FY27) dan RM62.7 juta (FY28), disokong antaranya buku tempahan yang belum dibil RM130.3 juta," katanya.
Hasil dijangka berkembang antara 24% hingga 27% setahun dalam tempoh sama, dengan TA Securities menyatakan antara kelebihan utama syarikat itu termasuk kepakaran dalam reka bentuk IP silikon.
Selain itu, pasukan pengurusan berpengalaman luas dalam industri semikonduktor turut menjadi pemacu utama pertumbuhan, di samping hubungan kukuh dan akses kepada teknologi canggih sehingga nod 3nm.
Bagaimanapun, SkyeChip berdepan pelbagai risiko termasuk isu geopolitik, kesinambungan tempahan yang tidak terjamin, kebergantungan perisian reka bentuk luar, serta kepada tenaga kerja utama.
"Selepas IPO, syarikat dijangka berada dalam kedudukan tunai bersih sekitar RM398.3 juta, sekali gus memberikan fleksibiliti untuk membiayai pelaburan dan pengembangan masa depan," kata firma itu.
Secara keseluruhan, TA Securities berpandangan ia berada pada pertumbuhan kukuh dalam industri berteknologi tinggi, namun pelabur perlu mengambil kira pelbagai risiko luar. - DagangNews.com








