Skim Rumah Idaman pacu pertumbuhan berulang Gagasan Nadi Cergas pada FY25, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Skim Rumah Idaman pacu pertumbuhan berulang Gagasan Nadi Cergas pada FY25, kata RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 16 DisGagasan Nadi Cergas Berhad dijangka mencatat pertumbuhan lebih mampan dipacu oleh banyak projek perumahan mampu milik Rumah Idaman di Selangor, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, skim kediaman untuk golongan B40 dan M40 dilaksanakan kerajaan negeri itu berpotensi meningkatkan sumbangan pendapatan secara berulang kepada kumpulan.


Pemulihan perniagaan pembangunan hartanah katanya, menjadi pemacu utama hasil kumpulan bermula tahun kewangan 2025 (FY25), dengan pelancaran lebih 7,500 unit di Kwasa Damansara dan Elmina City.


"Kami difahamkan projek perumahan berkenaan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) yang cukup tinggi dan mencecah jumlah RM3.2 bilion," kata RHB Research dalam satu nota kajiannya hari ini.


Fasa pertama projek Kwasa Damansara jelas firma berkenaan, berjaya mencatat kadar pengambilan sebanyak 81% dalam tempoh dua tahun, disokong permintaan kukuh daripada pembeli rumah pertama. 


Sementara fasa kedua projek tersebut, yang bersaiz lebih dua kali ganda berbanding fasa pertama, dijangka dilancarkan pada suku pertama 2026 dan berpotensi mengekalkan momentum jualan yang sama.


Dua projek di Elmina dengan GDV keseluruhan RM414 juta turut dijadualkan pada 1QFY26, dan projek Elmina 5 dijangka dapat diperoleh serta-merta oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).


"Perkembangan itu membolehkan pengiktirafan hasil seawal suku pertama FY25, selain kumpulan itu turut disokong buku tempahan pembinaan kukuh RM221 juta setakat 30 September 2025," tambahnya.


Di samping itu kata RHB Research, Gagasan Nadi Cergas turut dikenal pasti mempunyai mandat dalaman untuk membina sejumlah 15,000 unit jenis perumahan mampu milik dalam tempoh lapan tahun lagi.


Situasi positif tersebut kata firma berkenaan, menjadikan jumlah keseluruhan buku tempahan kepada 32 kali hasil pembinaan pada FY24, sekali gus menyediakan keterlihatan pendapatan jangka panjang.


Ia turut menekankan kira-kira 50% keuntungan syarikat dijangka datang daripada pendapatan konsesi berulang, termasuk dua konsesi asrama pelajar selama 20 tahun di dua universiti awam tempatan.


"Cadangan pengambilalihan Konsortium PAE Sepakat Sdn Bhd pada harga RM185.5 juta juga berpotensi mengukuhkan pendapatan berulang, dengan tambahan penerimaan RM155.2 juta sehingga 2036," katanya.


Sehubungan itu, RHB Research menilai Gagasan Nadi Cergas pada gandaan 11.5 kali hasil FY26, dengan nilai saksama 53 sen sesaham, dengan menyifatkan penilaian semasa masih lagi sebagai menarik.


Bagaimanapun ia memberi amaran risiko utama termasuk kadar pengambilan hartanah yang lebih perlahan daripada jangkaan, turun naik harga bahan binaan serta ketidaktentuan ekonomi. - DagangNews.com