Skim insurans KWSP diramal tingkatkan prestasi penjagaan kesihatan Sunway - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Skim insurans KWSP diramal tingkatkan prestasi penjagaan kesihatan Sunway - MIDF Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 Jun — Prestasi bahagian penjagaan kesihatan Sunway Berhad dijangka meningkat jika idea skim insurans kesihatan dibiayai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) diteruskan kerajaan.


MIDF Research berkata, inisiatif itu membolehkan ahli KWSP menggunakan tabungan Akaun 2 untuk perlindungan insurans, bagi memperoleh akses penjagaan kesihatan swasta lebih pantas dan bermutu.


Kata firma penyelidikan tersebut, kira-kira 16 juta pencarum KWSP akan menerima faedah itu dan dijangka memanfaatkan Sunway Healthcare Group (SHG) yang memiliki lima hospital di Malaysia.


Selain itu, pelan tersebut akan meningkatkan bilangan pesakit luar serta bilangan kemasukan berikutan akses orang ramai kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan swasta yang lebih baik.


“Impak positif skim KWSP ini dijangka mengurangkan kesan negatif ringan isu pembayaran kumpulan berkaitan diagnosis dan membendung inflasi perubatan,” kata MIDF Research dalam nota kajiannya.


Firma itu berkata, segmen penjagaan kesihatan Sunway kekal sebagai penyumbang hasil utama, kira-kira 14% daripada keuntungan sebelum cukai kumpulan pada tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024.


Bagaimanapun sumbangan itu menurun kepada 10% pada suku pertama berakhir 31 Mac 2025 berikutan kerugian kos operasi permulaan daripada Pusat Perubatan Sunway (SMC) Damansara dan SMC Ipoh.


Tambah MIDF Research, SHG pada masa ini memiliki 1,647 katil berlesen, dan menyasarkan untuk meningkatkan jumlah kapasitinya kepada 3,000 menjelang 2030 melalui pembangunan hospital baharu.


SHG menandatangani perjanjian dengan Putrajaya Holdings Sdn Bhd pada April 2025 untuk pembangunan hospital 325 katil di Putrajaya dan sedang mempertimbangkan hospital pertamanya di Seremban.


“Secara keseluruhan, pelan pengembangan terus memacu pertumbuhan pendapatan SHG dan pertumbuhan pendapatan juga dipacu pelancongan perubatan di Malaysia kerana reputasi kukuh SHG,” katanya.


Mengenai tinjauan lebih luas, MIDF Research berkata, pendapatan Sunway pada FY24 adalah kukuh pada RM1.06 bilion, meningkat 51.3% tahun ke tahun, didorong sumbangan projek di Singapura.


Ia menjangkakan pendapatan kumpulan itu juga akan kembali normal pada FY25 serta melihat hasil akan disokong terutamanya oleh pertumbuhan dalam pelaburan hartanah dan bahagian pembinaan.


Berdasarkan perkembangan semasa itu, ia telah mengekalkan penarafan "neutral" ke atas Sunway, dengan harga sasaran tidak berubah kepada sebanyak RM4.86 sesaham. - DagangNews.com