Skandal perolehan, senggaraan kenderaan perisai ATM dedah kelemahan tadbir urus industri pertahanan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Skandal perolehan, senggaraan kenderaan perisai ATM dedah kelemahan tadbir urus industri pertahanan

Kenderaan AV8 Gempita semasa latihan tembakan di Gemas, Negeri Sembilan.
Analisis Berita Oleh Zaki Salleh

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2/2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mendedahkan kelemahan ketara dalam pengurusan perolehan dan pentadbiran kontrak kenderaan perisai utama Tentera Darat Malaysia (TDM). 

 

Ia melibatkan kontrak bernilai RM7.8 bilion bagi tempoh 2020 hingga 2023 membabitkan aset-aset tempur seperti kenderaan perisai AV8 Gempita, kereta kebal PT-91M Pendekar, Adnan, Lipan Bara dan MIFV.

 

Ini menimbulkan persoalan serius berkenaan kesiapsiagaan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kebolehpercayaan terhadap industri pertahanan tempatan.

 

 

 

 

 

 

Laporan ini perlu dipandang serius kerana aset-aset kenderaan perisai adalah tulang belakang keupayaan tempur darat ATM.

 

Kenderaan

 

Sebarang kelewatan, kegagalan mematuhi spesifikasi atau ketidakcekapan dalam penyelenggaraan dan sokongan logistik boleh menjejaskan kesiapsiagaan pertahanan.

 

Dalam konteks ini, kelemahan tadbir urus perolehan yang dilaporkan LKAN bukan sahaja membawa implikasi kewangan, tetapi berpotensi menjejaskan keselamatan negara. 

 

Sekiranya aset tidak boleh digunakan ketika diperlukan atau mengalami masalah teknikal kritikal akibat kelemahan dari peringkat perolehan, operasi ATM boleh terencat. 

 

Tambahan pula, kerosakan imej kepada keupayaan strategik ATM boleh menghakis keyakinan awam terhadap kemampuan pertahanan negara.

 

Kenderaan
Tentera Darat Malaysia telah memperoleh sebanyak 257 buah kenderaan berperisai AV8 Gempita yang diterima secara berperingkat-peringkat bermula Januari 2015.

 

Kenderaan

 

Kenderaan

 

Apa yang lebih membimbangkan, semua kenderaan yang terlibat dalam laporan ini dibekalkan oleh syarikat-syarikat tempatan.

 

Maka, pendedahan LKAN ini bukan sahaja mencerminkan masalah dalam aspek pengurusan logistik ketenteraan, tetapi turut mendedahkan kelemahan struktur dalam industri pertahanan tempatan.

 

Kegagalan untuk memenuhi jadual penghantaran, tidak mematuhi spesifikasi kontrak dan kekurangan dalam pelaporan kemajuan projek mengundang pertanyaan besar terhadap keupayaan industri. 

 

Ia sekali gus menimbulkan persoalan adakah negara mampu membina ekosistem pertahanan yang berdikari dan berdaya saing sekiranya ingin berkembang ke peringkat global?

 

Laporan LKAN mengingatkan kembali kepada kejadian sebelum ini melibatkan pembekalan 9 buah kenderaan IAG Guardian kepada kontinjen MALBATT di Lubnan pada 2018.

 

Kenderaan
Kereta kebal PT-91M.

 

Kenderaan

 

Kenderaan

 

Kenderaan perisai yang dibekalkan sebuah syarikat tempatan itu tidak memenuhi spesifikasi yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

 

Pendedahan pada LKAN 2019 ini memberi imej negatif terhadap kemampuan negara dalam menyokong operasi pengaman antarabangsa.

 

Laporan tersebut menyebut negara terkurang bayaran balik berjumlah RM2.22 juta daripada PBB.

 

Ketidakpatuhan teknikal tersebut menyebabkan kerajaan terpaksa membuat perolehan baharu iaitu kenderaan Panthera 4x4 dari Türkiye.

 

Kenderaan
Lipan Bara.

 

Kenderaan

 

Apabila isu seperti ini berlaku lagi, ia mencerminkan kegagalan berulang dan bukan semata-mata kesilapan teknikal. 

 

Ia menandakan masalah dari peringkat perancangan, pelaksanaan, pengawasan hingga kepada audit dalaman. 

 

Lebih membimbangkan, ia menjejaskan kredibiliti Malaysia dalam perolehan ketenteraan antarabangsa dan peluang eksport produk tempatan ke luar negara.

 

Dalam era keterbukaan maklumat dan akauntabiliti awam, pandangan rakyat terhadap industri pertahanan semakin kritikal. 

 

Pembayar cukai berhak mengetahui bagaimana wang negara dibelanjakan, terutama apabila membabitkan nilai berbilion ringgit dan sektor sepenting keselamatan negara.

 

Kenderaan
Kenderaan perisai Adnan.

 

Kenderaan
Kenderaan perisai MIFV semasa menjalani latihan.

 

Kenderaan

 

Apabila syarikat tempatan gagal menepati kontrak dan perolehan dilihat tidak telus, ia menimbulkan tanggapan bahawa industri pertahanan terlalu bergantung kepada hubungan politik dan kurang berasaskan kecekapan sebenar. 

 

Ini membantutkan pembangunan industri jangka panjang apabila kebolehan syarikat-syarikat tempatan tidak menunjukkan sepertimana diharap.

 

Pendedahan LKAN ini seharusnya menjadi pemangkin kepada reformasi menyeluruh dalam pengurusan perolehan pertahanan negara. 

 

Persoalannya pula ialah apakah langkah yang perlu diambil oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) dan Kementerian Kewangan (MoF) untuk memastikan kelemahan yang berlaku ini tidak berulang?

 

 

Kenderaan

 

LKAN 2/2025 tidak sekadar mendedahkan kelemahan pentadbiran tetapi ia memberi gambaran mendalam mengenai isu struktur dan kepercayaan dalam ekosistem pertahanan negara. 

 

Mindef dan MoF perlu memastikan kapten industri melakukan tadbir urus yang betul dan memacu industri pertahanan tempatan ke arah yang lebih berdaya tahan, kompeten dan berwibawa. - DagangNews.com