KUALA LUMPUR 27 Okt – Skala operasi Farmiera Berhad mungkin masih kecil menjelang penyenaraian di Bursa Malaysia berbanding pemain ternakan ayam utama tempatan yang lain, menurut TA Securities.
Bagaimanapun tambah firma penyelidikan tersebut, langkah syarikat itu membangunkan tiga ladang induk (PS) yang baharu dijangka menjadi pemangkin utama dalam pertumbuhan operasi jangka panjang.
Katanya, ini termasuk mampu mengurangkan kebergantungan stok syarikat terhadap pembekal pihak ketiga yang dikenal pasti sebagai cabaran serta meningkatkan margin keuntungannya pada masa depan.
"Farmiera berpotensi berkembang selaku pengeluar ayam halal bersepadu dan kami mengekalkan saranan 'tidak dinilai' dengan harga sasaran wajar 20 sen sesaham," tambah TA Securities dalam notanya.
Penilaian itu jelasnya, berdasarkan anggaran nisbah harga pendapatan (PE) 2026 sebanyak enam kali, berbanding banyak syarikat ternakan besar yang menikmati margin dan kedudukan pasaran lebih kukuh.
Firma berkenaan turut menjelaskan yang penilaian tersebut adalah bersesuaian kerana saiz operasi Farmiera sendiri pada masa ini masih lagi sederhana dengan kapasiti terhad di peringkat huluan.
TA Securities namun optimis dengan pengembangan strategik melalui pembinaan ladang PS dan satu kemudahan penetasan baharu yang bakal mengubah terus struktur kos syarikat secara beransur-ansur.
"Kami difahamkan ia juga sebagai sebahagian strategi jangka panjang kumpulan tersebut, dengan dua ladang itu di Negeri Sembilan dan satu di Pahang, dengan kapasiti 40,000 induk ayam," katanya.
Setelah kesemua ladang PS berkenaan disiapkan jelas firma penyelidikan tersebut, kumpulan itu menjangka jumlah kapasiti pengeluaran tahunannya mampu mencecah sekitar 10.5 juta ekor anak ayam (DOC).
Selain itu kata TA Securities, Farmiera merancang untuk menubuhkan sebuah fasiliti penetasan di Negeri Sembilan, dengan kapasiti 22.6 juta telur setahun, yang dilengkapi 12 mesin inkubator moden.
Tapak projek ini seluas 3,344 meter persegi dan bernilai RM9.6 juta yang akan dibiayai sepenuhnya melalui hasil penerbitan awam permulaan (IPO) serta dijangka siap menjelang suku pertama 2027.
"IPO ini melibatkan 117 juta saham baharu atau 26% modal diperbesarkan tanpa sebarang tawaran jualan oleh pemegang sedia ada, dengan 22.5 juta saham diperuntukkan kepada orang awam," katanya.
Sementara sembilan juta kepada individu layak dan baki 85.5 juta kepada pelabur terpilih, manakala harga IPO itu ditetapkan pada 25 sen sesaham, mewakili anggaran PE sebanyak 16 kali pada 2024.
Farmiera ketika ini kata TA Securities, mengendalikan 15 ladang sendiri selaian bekerjasama dengan 44 ladang kontrak di Semenanjung, disokong dua loji pemprosesan di Negeri Sembilan dan Perak.
Kumpulan itu turut menjual ayam hidup, DOC, makanan ternakan, ubat dan vaksin dengan memiliki kelebihan termasuk pensijilan kualiti menyeluruh yang memperkukuh keyakinan pengguna di pasaran.
"Kami juga mendapati hubungan teguh dengan pembekal dan pelanggan utama, termasuk Segi Fresh dan Hero Hypermarket yang menjana 22.5% hasil FY24 serta pasukan pengurusan berpengalaman," katanya.
TA Securities merujuk prestasi cemerlang Farmiera dengan pertumbuhan sebanyak 28.9% daripada RM262 juta (FY21) kepada RM561.1 juta (FY24), manakala keuntungan bersih pula meningkat kepada RM7 juta.
Justeru, ia meramal untung bersih naik 33.3%, 56.7% dan 20.2% bagi FY25, FY26 dan FY27, dipacu oleh permintaan stabil terhadap produk ayam serta pengurangan kos input daripada fasiliti baharu.
Prospek industri katanya, kekal positif, disokong penggunaan ayam tertinggi dalam diet rakyat dan pertumbuhan pasaran ayam nasional diramal berkembang 4.1% kepada RM25.8 bilion menjelang 2029.
"Bagaimanapun, antara risiko utama termasuk wabak penyakit, turun naik harga bahan mentah, serta nisbah hutang bersih tinggi, namun ia dijangka berkurangan selepas penyenaraian kelak," kata TA Securities.
Ia mengunjurkan Farmiera lebih menumpukan isu aliran tunai dalaman kepada pengembangan modal dan peningkatan kecekapan operasi sebelum memperkenalkan dasar dividen rasmi kepada pemegang saham.
Secara keseluruhan, firma itu menegaskan, walaupun masih di peringkat awal skala industri, pelan pengembangan huluan agresif bakal memperkukuh daya saing kumpulan berkenaan. - DagangNews.com








