KUALA LUMPUR 16 Jun — Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (Prime) dijangka dapat menjadi inisiatif strategik ketika berdepan situasi bencana dan kecemasan di tempat awam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, ia juga adalah usaha Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) membantu pihak berkaitan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma).
Tambah beliau, menerusi pelaksanaan Prime, kerajaan dapat memastikan liputan kawasan operasi bencana dapat diuruskan dengan capaian komunikasi yang lebih baik.
“Ini bukan hanya untuk digunakan para petugas tetapi boleh dimanfaatkan mangsa dan mereka yang ingin diselamatkan,” katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Prime di SKMM hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Prime merupakan sistem komunikasi secara bersepadu yang bergerak berasaskan kenderaan dilengkapi teknologi satelit, selular, radio dua hala, WiFi dan dron.
Pelaksanaan Prime katanya, memperkukuh kerjasama SKMM dengan pelbagai agensi strategik dalam pengurusan kecemasan serta meningkatkan kecekapan tindak balas dan ketahanan komunikasi negara.

Katanya, Prime juga menyokong program jangkauan komuniti seperti Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) sebagai hab digital bagi membolehkan perkhidmatan internet dan aktiviti masyarakat di lokasi.
Menurut Fahmi, sebagai permulaan tiga unit Prime akan dibangunkan secara berperingkat dan yang pertama ditempatkan di ibu pejabat SKMM bagi menyokong operasi di Semenanjung Malaysia.
“Dua lagi unit akan disiapkan menjelang akhir tahun ini serta bakal ditempatkan di pejabat SKMM di Sabah dan Sarawak,” katanya sambil memaklumkan seunit Prime dibangunkan dengan kos RM1 juta.
Beliau menambah, sebagai permulaan pihak kementerian akan melihat aspek penambahbaikan boleh dilaksanakan terhadap fungsi yang belum lagi dimasukkan dalam penggunaan Prime pada ketika ini.
“Contohnya dron kerana kita lihat boleh ada cara sampaikan dan menerima maklumat dengan meletak mikrofon serta pembesar suara. Mana (mangsa) terperangkap boleh cakap dengan pasukan penyelamat.
“(Kita) akan teliti satu tempoh tertentu kemudian dan saya akan meminta SKMM untuk kaji kesesuaian tambah jumlah unit (Prime) yang seterusnya pula,” kata Fahmi.
Selain itu juga, beliau memaklumkan, unit Prime sedia ada boleh diuji pada Oktober 2025 terutama di negeri-negeri yang berdepan dengan fenomena Monsun Timur Laut. - DagangNews.com








