Sistem penarafan dipacu industri dilihat langkah terbaik kawal selia pempengaruh, kata MCMC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sistem penarafan dipacu industri dilihat langkah terbaik kawal selia pempengaruh, kata MCMC

RERUAI Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang dibuka pada Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global (GPRCFMY 2025) di ibu negara. - DagangNews.Com / Amree Ahmad
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 NovSuruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berpandangan langkah terbaik mengawal selia pempengaruh, adalah melalui sistem pensijilan atau penarafan.


Timbalan Pengarah Urusan (Pembangunan) MCMC, Eneng Faridah Iskandar berkata, pendekatan itu wajar dimulakan industri sendiri, terutama yang mengambil bahagian besar perbelanjaan pengiklanan (adex).


Beliau menjelaskan bahawa kawalan etika dan kod tingkah laku sebenarnya sudah lama wujud untuk profesion tertentu seperti peguam atau doktor, namun belum ada dalam konteks pempengaruh umum.


"Justeru, saya menyarankan inisiatif ini dibuat badan seperti Forum Kandungan Komunikasi," katanya ketika sesi diskusi pada Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global (GPRCFMY 2025) di ibu negara.


Acara selama tiga hari yang berakhir hari ini dianjurkaan oleh MCMC, Human Resource Development Corporation (HRD Corp) serta Persatuan Pengamal Perhubungan Awam Malaysia (PRactitioners).


Jelas Eneng Faridah, peniaga jenama tidak akan menerbitkan iklan tanpa nasihat daripada pengiklan secara am, serta dapat memberitahu mengenai siapakah yang boleh dipercayai dan dipertanggungjawabkan.


Pensijilan boleh dilakukan melalui kursus khas mengenai kod kandungan, membolehkan pempengaruh itu disahkan, dan langkah ini membolehkan pengiklan memilih individu yang tepat untuk jenama mereka.


“Pada akhirnya, jika anda mengupah pempengaruh yang salah, mereka boleh mempengaruhi khalayak juga ke arah laluan tidak betul atau bertentangan dengan intipati jenama anda sepatutnya,” tegas beliau.


MCMC jelas Eneng Faridah, juga menegaskan bahawa cabaran utama dalam landskap digital kini adalah menangani skala berita palsu atau penetapan agenda yang diperkasakan oleh kecerdasan buatan (AI).


Artikel berkaitan: MCMC mahu rakyat jadi pembangun digital aktif, bukan lagi sebagai pengguna pasif
 

MCMC
ENENG Faridah Iskandar berucap ketika sesi diskusi Persidangan dan Festival Perhubungan Awam Global (GPRCFMY 2025) di Kuala Lumpur hari ini.- DagangNews.Com /Amree Ahmad



Teknologi itu katanya, dilihat sebagai pemboleh daya yang berupaya meningkatkan kecemerlangan seseorang atau membuatkan mereka yang sebenarnya kurang baik untuk kelihatan menjadi lebih baik.


Bagaimanapun tambah beliau, perkembangan AI ini turut menuntut MCMC untuk bergerak aktif memantau serta menjadikan platform bertanggungjawab memikul lebih banyak ketelusan ke atas kandungan mereka.


“Ini termasuk pengendali platform tersebut memiliki moderator antara muka manusia sebagai contoh, untuk menangkap pelbagai format nuansa daripada apa sahaja kandungan yang dihasilkan,” kata beliau


Dalam usaha menangani penyebaran kandungan palsu pula, MCMC jelas Eneng Faridah, telah mewujudkan portal semakan fakta, iaitu Sebenarnya.my pada 2017 bagi menjawab kandungan tular secara cekap.


Meskipun berita palsu pantas tersebar, MCMC katanya mendapat, ia juga menurun cepat dan mengaitkan situasi ini kepada sikap rakyat yang semakin bijak menilai kesahihan maklumat dari tahun ke tahun.


Kebenaran muncul pada akhirnya dan orang yang menilai kandungan itu adalah manusia sendiri, selain dengan keupayaan tabiat positif, pengguna dapat membezakan sama ada sesuatu itu benar atau tidak.


"MCMC turut menekankan pembinaan literasi digital dan daya tahan dalam kalangan golongan muda bagi memastikan mereka tahu apa yang perlu dilakukan apabila menghadapi risiko dalam talian," katanya.


Dari segi kerangka kawal selia, kerajaan menetapkan dasar pembangunan yang menggalakkan inovasi dan melahirkan idea baharu mengenai intervensi kawal selia yang ‘bersesuaian untuk tujuan’ sewajarnya.


Bagaimanapun jelas Eneng Faridah, MCMC sentiasa berhati-hati agar peraturan tidak dilihat terlalu melangkaui batas mengekang kreativiti menekankan ia mesti disesuai untuk menangani bahaya tertentu,


Sehubungan itu, penglibatan dan perundingan bersama adalah perlu dengan MCMC berpegang kepada prinsip kawal selia dapat menangani isu digital yang spesifik tanpa menghalang inovasi. - DagangNews.com