Sistem eSelfAudit bantu atasi ketirisan syarikat kerajaan menguruskan operasi - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sistem eSelfAudit bantu atasi ketirisan syarikat kerajaan menguruskan operasi - PM Anwar

BERNAMA
Oleh Amree Ahmad

PUTRAJAYA 6 Feb - Pengauditan terhadap hampir 2,000 syarikat milik kerajaan dengan penggunaan sistem terkini dikenali e-SelfAudit berasaskan kecerdasan buatan (AI) bertujuan menangani beberapa kelemahan.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah diperkenalkan Jabatan Audit Negara (JAN) itu dapat mengatasi isu kegagalan pengurusan dan penyeliaan operasi syarikat serta kerugian berterusan.

 

Malahan ujar beliau, pihak jabatan tersebut akan melaksanakan pengauditan tersebut bermula tahun ini dengan pelaksanaan kaedah pengauditan rintis menggunakan sistem yang dimulakan sejak November 2024 lalu.

 

"Lebih penting, sistem ini dibangunkan secara dalaman melalui Projek Pendigitalan JAN tanpa implikasi kos tambahan kepada kerajaan," katanya berucap pada Majlis Peluncuran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan di sini.

 

Anwar berkata, eSelfAudit bertujuan menangani isu tatakelola yang dikenal pasti dalam syarikat kerajaan termasuk kelemahan pemantauan laporan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pelan strategik.

 

Antara isu lain yang dikenal pasti ialah kegagalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) memainkan peranan dalam mengurus dan menyelia operasi syarikat serta kerugian berterusan di peringkat syarikat induk dan anak syarikat.

 

"Keuntungan syarikat yang tidak diagih semula kepada kerajaan sebagai pulangan juga menjadi satu isu utama, selain kelemahan Jawatankuasa Pelaburan dan Jawatankuasa Audit dalam memberi pandangan dan nasihat kepada Lembaga Pengarah," katanya.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menegaskan keputusan signifikan syarikat termasuk pembayaran gaji dan perkhidmatan sering kali tidak dibawa untuk kelulusan Lembaga Pengarah dan menjejaskan integriti pengurusan.

 

Bagi memperkukuhkan tatakelola, beliau berkata kerajaan ada mengeluarkan arahan Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional: Tatakelola Syarikat Berkepentingan Kerajaan dan Syarikat Berhad Menurut Jaminan pada 20 Mei 2024.

 

"Arahan ini telah memberi panduan lebih terperinci dalam pelaksanaan peraturan dan prosedur pengurusan syarikat berkepentingan kerajaan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan.

 

"Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada JAN atas usaha mereka melaksanakan pengauditan berskala besar ini yang pasti akan meningkatkan tahap ketelusan dan akauntabiliti dalam syarikat kerajaan," kata beliau.

 

Pada majlis itu, Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata, JAN sudah mengeluarkan empat garis panduan pengauditan yang baharu antaranya Garis Panduan Pengauditan Pengurusan Syarikat Kerajaan.

 

Tidak ketinggalan ujar beliau lagi ialah Garis Panduan Susulan Audit; Garis Panduan Follow The Public Money Audit (FPMA) dan terakhir ialah Garis Panduan Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan.

 

"Ini merupakan kuasa baharu diperuntukkan di bawah Seksyen 7A Akta Audit dan Ketua Audit Negara boleh mengeluarkan apa-apa garis panduan sebagaimana perlu atau suai manfaat ke arah membudayakan tatakelola dan akauntabiliti pengurusan wang awam," katanya.

 

Beliau berkata, e-SelfAudit membolehkan proses pengauditan dilaksanakan dengan lebih cekap dan sistematik ke atas 1,856 syarikat kerajaan yang diwartakan merangkumi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan CLBG.

 

Langkah ini menunjukkan komitmen JAN dalam memastikan fungsi Semak dan Imbang terus diperkukuh bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan wang awam negara.

 

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.  - DagangNews.com