KUALA LUMPUR 15 Ogos — Sistem Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menjalani kerja penyelenggaraan secara berjadual dalam tempoh dua minggu bermula 18 Ogos 2025.
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pelaksanaan kerja itu sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk terus mengoptimumkan prestasi sistem.
Ia dilakukan pada waktu bukan puncak antara pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi untuk meminimumkan kesan kepada penumpang dan sepanjang tempoh ini, perkhidmatan Aerotrain tidak dapat disediakan.
"Bagaimanapun perkhidmatan bas ulang-alik akan disediakan MAHB untuk mengekalkan ketersambungan lancar antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit KLIA," kata beliau dalam satu kenyataan.
Semua pengembara pada waktu ini tambahnya, dinasihatkan supaya dapat mengikuti beberapa papan tanda lapangan terbang dan panduan arah daripada kakitangan darat untuk memudahkan pergerakan mereka.
Beliau turut memberi jaminan, pihaknya secara proaktif memperhalusi sistem Aerotrain berdasarkan data secara masa nyata dan pandangan berterusan yang dikumpul daripada pelbagai pihak sejak pelancarannya.
Tambahnya, kerja-kerja berjadual tersebut penting untuk memastikan kadar responsif terhadap sistem rel KLIA yang lebih optimum, jaminan tahap keselamatan dan kebolehpercayaan untuk jangka panjang.

KLIA juga kata Mohd Izani, melabur dalam peningkatan teknikal lain seperti Loji Pencucian Kenderaan Automatik (AVWP) yang akan ditauliahkan di landasan menandakan kali pertama untuk Aerotrain.
"Ia menggantikan kaedah pencucian manual sebelumnya dengan direka bentuk menyokong piawaian penyelenggaraan jangka panjang dan mengukuhkan isu teknikal serta kebolehpercayaan armada," katanya.
Peningkatan berterusan itu tambah beliau, mencerminkan pendekatan yang berpandangan ke hadapan MAHB sendiri terhadap penyelenggaraan dan kualiti perkhidmatan kemudahan lapangan terbang.
Perkhidmatan tren moden tanpa pemandu itu kembali beroperasi pada 1 Julai 2025 selepas menjalani proses naik taraf bernilai RM456 juta, sebagai sebahagian inisiatif transformasi KLIA berjumlah RM742 juta.
Aerotrain yang menjadi ciri ikonik KLIA sejak pembukaannya pada 1998 kini dilengkapi set tren Alstom Innovia APM 300R dengan setiap tren tiga gerabak itu mampu memuatkan sehingga 270 penumpang.
Sejak permulaan operasinya, Aerotrain telah berjaya mengangkut lebih dua juta penumpang, mengumpul lebih daripada 1,100 jam perkhidmatan, serta menyelesaikan kira-kira 18,800 perjalanan.
Ia bergerak pada kelajuan maksimum 56 kilometer sejam, sekali gus mengurangkan masa perjalanan antara terminal utama dan terminal satelit kepada tempoh kurang tiga minit. - DagangNews.com








