KUALA LUMPUR 2 Sept – Siri insiden gempa bumi skala kecil yang melanda Johor sejak minggu lalu tidak memberi ancaman serius kepada keselamatan fizikal bangunan di negeri berkenaan.
Sebaliknya, BIMB Securities menyifatkan kejadian tersebut hanya mengganggu sentimen pelabur terhadap pelbagai projek ekonomi yang dilaksanakan di Johor sendiri.
Bagaimanapun firma itu menjelaskan bahawa kebanyakan pusat data di Malaysia dibina setingkat, berketinggian bawah 10 meter dan tidak bergantung kepada tiang bebanan tinggi, menjadikan struktur tersebut secara semula jadi stabil dari segi seismik.
“Risiko sebenar bukanlah keruntuhan bangunan, tetapi psikologi pelabur,” menurut BIMB Securities dalam nota penyelidikannya.
Tambah firma itu, pusat data Malaysia dibina mengikut piawaian Eurocode 8 (EC8) yang direka untuk tahan gegaran, di samping penggunaan kemudahan utiliti yang berdaya tahan.
“Gabungan EC8, reka bentuk bangunan rendah dan keperluan utiliti yang stabil telah membantu mengawal risiko seismik di sektor ini,” jelasnya.
Malaysia, yang sejak sekian lama dianggap bebas daripada bencana alam besar seperti gempa bumi, kini menjadi tumpuan pelaburan asing dalam sektor pusat data, dengan Johor muncul sebagai hab utama bagi pembangunan berkenaan.
Gegaran bumi kecil mula dikesan di Segamat pada 24 Ogos 2025, dengan satu lagi gegaran ringan dilaporkan di Batu Pahat hujung minggu lalu.
Tiada kecederaan dilaporkan, namun beberapa bangunan kerajaan mengalami retakan kecil.
BIMB Securities turut mengingatkan bahawa kejadian seperti ini lebih kepada gangguan episodik, bukannya bencana berskala besar seperti yang dialami di Sabah pada 2015 yang mengorbankan 18 nyawa dan membawa kepada penerimaan piawaian EC8 di Malaysia pada 2016.
“Gegaran di Segamat baru-baru ini mungkin mengejutkan orang awam, namun tidak menimbulkan risiko nyata kepada bangunan yang direka dengan baik,” kata firma itu.
Mengakhiri laporan tersebut, BIMB Securities menegaskan bahawa risiko seismik terhadap sektor pusat data dan pembinaan di Malaysia adalah terkawal, dan melihat sebarang kelemahan harga saham yang berpunca daripada ketakutan pelabur sebagai peluang untuk beli.
Firma itu mengesyorkan pelabur untuk mengambil posisi dalam saham Gamuda Berhad dan Sunway Construction Group Bhd, bagi mendapat pendedahan kepada permintaan yang terus meningkat dalam pembangunan pusat data. - DagangNews.com








