Singapura mencipta satu lagi pencapaian penting dalam industri pertahanan maritim serantau apabila melancarkan kapal perang tercanggihnya, kapal tempur pelbagai peranan (MRCV) pertama.
Kapal tersebut hasil pembinaan syarikat kejuruteraan berteknologi tinggi milik negara, ST Engineering.
Sepertimana yang diketahui, industri pembinaan kapal dan pertahanan telah lama wujud di Singapura dengan ST Engineering sebagai pemain peneraju utama.
MRCV seberat 8,000 tan dan berukuran 150 meter panjang dibina hasil kajian tentera laut Singapura mengenai sistem tanpa pemandu serta keperluan operasi masa hadapan.

Kapal ini menggabungkan keupayaan tempur sebuah frigat moden dengan kebolehan membawa dan mengoperasikan pelbagai sistem tanpa pemandu sebagai sebuah kapal induk.
Dengan kapal-kapal ini membolehkan tentera laut Singapura beroperasi jauh dari pantai melepasi Selat Melaka hingga ke Laut China Selatan.
Sebanyak 6 buah MRCV akan dibina dalam usaha tentera laut negara itu menggantikan korvet kelas Victory yang telah berusia.
Lebih membanggakan, kapal ini dibina dalam masa hanya setahun selepas projek dimulakan pada Mac 2024 dengan pelancaran tepat mengikut jadual.
Pencapaian ST Engineering ini sesuatu yang jarang berlaku dalam pembangunan sistem pertahanan yang kompleks.



Projek MRCV melibatkan kerjasama beberapa pihak seperti Defence Science and Technology Agency (DSTA), DSO National Laboratories dan rakan industri lain bagi memastikan kapal ini dapat memenuhi matlamat operasi yang telah dirancang.
Pada sisi lain, Malaysia masih lagi bergelut menyiapkan projek kapal tempur pesisir (LCS) yang tertangguh sejak lebih sedekad lalu.
Persoalannya kini mengapa Singapura boleh maju begitu pantas, sedangkan Malaysia yang memulakan projek lebih awal masih terkial-kial?
Projek MRCV ini bukan sekadar usaha pembaharuan aset, tetapi manifestasi kematangan industri pertahanan Singapura.
Reka bentuk kapal yang moden dan futuristik ini membolehkan ia bertindak sebagai kapal induk kepada sistem tanpa pemandu seperti dron udara dan kenderaan permukaan atau bawah laut.

Ini menjadikan MRCV sebagai kapal tercanggih di rantau ini.
Paling mengejutkan, pembinaan MRCV yang dimulakan pada tahun 2024 telah berjaya melancarkan kapal pertama hanya setahun selepas itu.
Kesemua enam kapal dijangka siap dan ditauliahkan secara berperingkat-peringkat bermula tahun 2028.
Kemajuan ini banyak dipacu oleh kecekapan ST Engineering yang memiliki pengalaman luas dalam industri pertahanan, perancangan projek yang teliti dan kerjasama antarabangsa yang strategik, seperti dengan Saab Sweden.
Begitu juga pendekatan pembinaan modular serta penggunaan teknologi tinggi.

Sebaliknya, Malaysia masih bergelut menyiapkan projek LCS yang dimulakan sejak lebih sedekad lalu sebelum tertangguh akibat skandal dan disambung kembali atas nama kepentingan nasional.
Kapal LCS pertama, KD Maharaja Lela, hanya baru memasuki fasa ujian sistem pada Mei 2025 dan dijangka memulakan ujian pelayaran pada Disember ini iaitu lebih 10 tahun sejak pelancarannya pada 2017.
Projek yang asalnya melibatkan 6 buah kapal dengan kos RM9 bilion telah dikurangkan kepada 5 kapal dengan kos meningkat kepada RM11.2 bilion.
Kesemua kapal dijangka hanya siap sepenuhnya menjelang tahun 2029 iaitu 4 tahun lagi.
Sepertimana diketahui umum, pelbagai isu membelenggu projek LCS seperti kelewatan dalam reka bentuk terperinci, masalah rantaian bekalan dan pembekalan komponen.


Turut terpalit adalah kurangnya penyeliaan ketat pada peringkat awal projek, isu tadbir urus dan tanggungjawab dalam pengurusan kontraktor.
Semua ini memberi kesan besar kepada kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), yang terpaksa bergantung kepada kapal-kapal lama yang semakin uzur.
Industri maritim Singapura nampaknya mampu melaksanakan projek kompleks dalam tempoh singkat dengan hasil yang konsisten, manakala Malaysia terus dihantui oleh isu tadbir urus dan kelewatan kronik.
Fokus utama adalah peningkatan pemantauan dan ketelusan dalam projek mega serta pembangunan industri tempatan secara bersepadu yang bukan hanya pembinaan tetapi juga integrasi sistem, latihan dan penyelenggaraan,

Kerjasama strategik antarabangsa yang bukan sekadar ‘offset’ tetapi pemindahan teknologi sebenar.
Skandal projek LCS memberi pengajaran kepada Malaysia bahawa pembinaan sebuah kapal perang bukan sekadar hanya boleh siap.
Kelewatan projek LCS bukan sahaja merugikan dari segi kewangan, tetapi turut melemahkan kredibiliti dan moral pertahanan negara.
Dalam suasana geopolitik serantau yang semakin tegang termasuk di Laut China Selatan, kelemahan seperti ini boleh menjadi liabiliti strategik. - DagangNews.com







