Sime Darby Property sasar jadi syarikat pelaburan hartanah, fokus aset industri – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sime Darby Property sasar jadi syarikat pelaburan hartanah, fokus aset industri – RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 OktSime Darby Property Berhad kini berada di landasan strategik untuk berubah daripada pemaju hartanah tradisional kepada syarikat pelaburan hartanah, menurut RHB Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah berkenaan dijangka memacu pertumbuhan secara mampan dan mampu menjana pendapatan berulang kepada kumpulan pemaju hartanah itu dalam jangka panjang.


Tambahnya, syarikat itu sudah merangka pelan perluasan portfolio aset industri, pelaksanaan projek taman perindustrian baharu serta pembentukan platform pengurusan dana dan aktiviti kitar semula aset.


"Berdasarkan prospek ini, kami mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran RM2.33 sesaham, yang menawarkan potensi kenaikan 62% berbanding harga pasaran semasa," kata RHB Research dalam notanya.


Melalui sesi jerayawara anjurannya bersama pengurusan kanan Sime Darby Property, pelabur institusi menyambut baik strategi jangka panjang khususnya membina portfolio hartanah industri yang kukuh.


Pelaksanaannya jelas firma tersebut, dirancang syarikat dalam tempoh 2 hingga 3 tahun akan datang, dengan antara yang hadir sesi berkenaan termasuk Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Azmir Merican.


Pelabur kata RHB Research, melihat langkah ini kritikal dalam menjayakan transformasi bagi menjadi syarikat hartanah pelaburan sebenar yang berupaya memberi pengewangan aset dan kestabilan hasil.


"Sime Darby Property juga meninjau peluang menambah bank tanah strategik berpotensi tinggi seperti Iskandar Malaysia di Johor dan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) di Negeri Sembilan," katanya.


Usaha itu jelasnya, bagi mengurangkan kebergantungan terhadap tanah di koridor barat Selangor dan ia tidak menolak kemungkinan kerjasama dengan syarikat perladangan, SD Guthrie Berhad sendiri.


RHB Research menjangka, langkah itu untuk membolehkan pembangunan perindustrian dan perbandaran baharu di lokasi tersebut yang berpotensi menjadi pemangkin semula kepada penilaian syarikat.


Tiga projek hartanah industri utama bakal dilancarkan Sime Darby Property iaitu Vision Business Park di MVV 2.0, Bandar Bukit Raja Business Park dan Elmina North yang terdahulu dikenali Lagong.


"Ini dijangka merancakkan jualan hartanah industri disokong oleh minat kukuh termasuk pengilang multinasional dan pemain industri dari China, meskipun dasar dagangan global mencabar," katanya.


Bagaimanapun, RHB Research menjangka penilaian semasa berpotensi disemak naik selepas mengambil kira pemilikan syarikat ini dalam projek Data Centre 2 dan pendapatan konsesi lain dikembangkan.


Secara keseluruhan, transformasi Sime Darby Property ke arah model pelaburan hartanah, digabung dengan strategi pengembangan aset industri dan pelaksanaan projek strategik, menjadikan syarikat lebih unik.


Justeru, firma penyelidikan itu yakin, kumpulan berkenaan mampu menjadi antara pemain utama yang berpotensi melonjak dalam landskap hartanah Malaysia. - DagangNews.com