KUALA LUMPUR 26 Sept – Sime Darby Property Berhad melakar sejarah menerusi pelancaran inisiatif solar bumbung kediaman pertama negara di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Program dikenali sebagai Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Diperbaharui Komuniti (CREAM) itu menandakan permulaan kepada model tenaga boleh diperbaharui (RE) yang berpaksikan masyarakat.
Usaha perintis di City of Elmina, yang juga projek utama pemaju tersebut melalui model pajakan bumbung dengan pemilik rumah membenarkan bumbung dipasang panel solar tanpa perlu pelaburan awal.
"Sime Darby Property bertindak sebagai Pengagregat Penjana Tenaga Tempatan (LEGA) bertanggungjawab memasang, mengendalikan serta menyelenggara infrastruktur solar," katanya dalam satu kenyataan.
Ia tambahnya, turut melibatkan kerjasama dengan anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB) sendiri iaitu GSPARX Sdn Bhd, yang juga ialah rakan teknikal kepada projek CREAM tersebut.
Tenaga elektrik dijana akan disalur ke Innovation Park Sime Darby Property, terletak dalam jarak lima kilometer daripada kediaman terlibat, dan berfungsi sebagai Pengguna Hijau Tempatan (LGC).
Pelancaran CREAM disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra), Datuk Seri Fadillah Yusof, di Galeri Jualan Elmina, hari ini.

Sementara itu, menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican, projek perintis ini mencerminkan komitmen syarikat memperkasa komuniti.
“Dengan pemilik rumah dijadikan sebagai peserta aktif, kami bukan sahaja mengurangkan jejak karbon komuniti, malah berpotensi menjana pendapatan untuk mereka dan menambah nilai hartanah,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Petra, Suruhanjaya Tenaga, TNB dan GSPARX atas sokongan padu menjayakan inisiatif ini, serta dianggap model perkongsian awam-swasta yang mampu diperluas.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan menyatakan sokongan TNB terhadap NETR dalam menyokong sasaran tenaga lestari negara menerusi masyarakat.
Langkah berkenaan tambah beliau, dapat diterjemahkan melalui penyediaan sistem solar bumbung dan sistem penyimpanan tenaga komuniti pertama negara di Elmina sebelum berkembang ke lokasi lain.
“Kami komited memperkasakan penduduk dengan tenaga yang lebih bersih, stabil dan lestari, sambil menyumbang kepada daya tahan dan fleksibiliti grid elektrik negara,” ujar beliau.
Sime Darby Property turut memaklumkan yang projek ini akan diperluas ke lebih banyak perbandaran milik syarikat itu, dan sedang menilai kemungkinan kerjasama dengan pelbagai pengguna tenaga.
Ini termasuk stesen minyak, pusat komersial serta sekolah berdekatan yang berminat kerana langkah itu selaras dengan matlamat negara untuk mencapai 70% kapasiti penjanaan RE menjelang 2050.
Perkembangan berkenaan juga kata beliau, sekali gus meletakkan Sime Darby Property sebagai antara pemacu utama sektor swasta dalam agenda tenaga lestari negara. - DagangNews.com








