Sime Darby Property kaut untung bersih RM430 juta, didorong jualan sembilan bulan tertinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sime Darby Property kaut untung bersih RM430 juta, didorong jualan sembilan bulan tertinggi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 NovSime Darby Property Berhad mencatat peningkatan untung bersih sebanyak 4% tahun ke tahun (YoY) kepada RM430.2 juta, prestasi sembilan bulan yang tertinggi sejak 2017.


Ia disokong permintaan kukuh pasaran serta portfolio pembangunan semakin matang, seiring lonjakan jualan dan kedudukan operasi mantap bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir 30 September 2025.


Prestasi kukuh itu turut disokong oleh pendapatan berjumlah RM3.1 bilion dan keuntungan operasi sebanyak RM722.5 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat kepada RM659.1 juta.


"Ini paras tertinggi bagi tempoh sembilan bulan sejak 2017. Margin untung kasar (GP) pula melonjak kepada 34%, jauh mengatasi panduan syarikat sebanyak 20% hingga 25%," katanya dalam satu kenyataan.


Segmen pembangunan hartanah terus menjadi penyumbang terbesar dengan hasil RM2.9 bilion dan PBT RM624.2 juta, diperkukuh oleh momentum jualan stabil serta kemajuan projek merentasi perbandaran.


Sementara segmen pelaburan dan pengurusan aset (IAM) turut menunjukkan peningkatan apabila pendapatan melonjak 28% YoY kepada RM123.1 juta, manakala PBT naik lebih 100% kepada RM41.5 juta.


Lonjakan yang amat menggalakkan ini jelas Sime Darby Property, disumbang oleh faktor prestasi yang kukuh daripada pelbagai segmen kecil runcit termasuk projek Elmina Lakeside Mall dan KL East Mall.


"Prestasi jualan terus menyinar dengan jumlah RM3.4 bilion, meningkat 6.7% (YoY) dan menyamai 93% daripada sasaran jualan setahun penuh sebanyak RM3.6 bilion," kata kenyataan kumpulan tersebut.


Dalam pada itu, segmen perindustrian kekal dominan dengan jualan RM1.3 bilion, diikuti kediaman bertanah (RM859.1 juta), kediaman bertingkat tinggi (RM765.7 juta) dan komersial (RM424.8 juta).


Tempahan sehingga 16 November 2025 mencecah RM1.5 bilion, sementara jualan belum dibil mencatat paras tertinggi iaitu RM4.1 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan bagi tiga tahun ke hadapan.


Sime Darby Property mengekalkan nisbah hutang bersih pada 34%, memastikan ruang pembiayaan yang mencukupi untuk pengembangan aset di bawah pengurusan (AUM) dan portfolio pendapatan berulang.
 

Azmir Merican
AZMIR MERICAN


"Syarikat juga memperkukuh pembangunan koridor perindustrian generasi baharu seluas 1,214 hektar di Kuala Selangor bersama SD Guthrie, meningkatkan potensi pertumbuhan jangka panjang," tambahnya.


Dalam tempoh 9MFY25, syarikat turut menerima pelbagai pengiktirafan industri termasuk kedudukan teratas di The Edge Malaysia Top Property Developer Awards 2025, serta anugerah ‘Property CEO’.


Mengulas perkembangan ini, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican, berkata, pihaknya bersemangat dengan keputusan 9MFY25.


Sime Darby Property kekal yakin mencapai sasaran FY25, didorong permintaan stabil merentasi segmen produk utama, disiplin kos dan kekuatan portfolio perindustrian serta aset pendapatan berulang.


"Identiti jenama baharu kami pula menandakan evolusi daripada pemaju tradisional kepada syarikat hartanah komprehensif yang menumpukan pembangunan dan agenda biodiversiti bandar," jelasnya lagi.


Prestasi 9MFY25 membuktikan keupayaan syarikat mengekalkan pertumbuhan konsisten dalam persekitaran pasaran mencabar, sekali gus muncul antara pemain hartanah terkemuka. - DagangNews.com