KUALA LUMPUR 2 Okt – Silver Ridge Holdings Berhad mengubah sepenuhnya fokus anak syarikat miliknya 51%, Total SR Web 3.0 Sdn Bhd (TSRW) kepada pelaksanaan platform tokenisasi aset dunia nyata (RWA).
Kumpulan penyedia rumusan telekomunikasi dan teknologi pintar itu berkata, TSRW akan menguruskan platform baharu di bawah jenama Tote8ank International, sekali gus menandakan perubahan strategik.
Justeru jelasnya, TSRW yang sebelum ini hanya terlibat dalam projek pembinaan akan memindahkan kesemua aktiviti tersebut kepada syarikat sekutunya pula, Ingress Delta Construction Sdn Bhd (IDC).
"Langkah itu bertujuan untuk menempatkan TSRW sebagai pemacu utama inisiatif Web 3.0 dan tokenisasi RWA dalam kumpulan ini," tambah Silver Ridge dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Tote8ank International menawarkan khidmat rundingan menyeluruh kepada syarikat tersenarai dan tidak tersenarai yang berminat menukar pemilikan saham, aset atau pendapatan kepada bentuk token digital.
Antara perkhidmatan ditawar platform itu termasuk kajian dan penilaian syarikat, ketekunan wajar, penstrukturan pematuhan dan percukaian serta pembangunan kontrak pintar dan audit keselamatan.
Silver Ridge menambah, TSRW juga berpotensi memanfaatkan Tote8ank International melakukan aktiviti penyenaraian token di pelbagai bursa dagangan mata wang kripto melalui teknologi blockchain.
"Token asli platform, TOT, masih sedang giat diuji dari segi kecairan menerusi PancakeSwap dan menyasarkan penyenaraian di bursa kripto MEXC menjelang akhir tahun ini," kata kumpulan berkenaan.
Platform Tote8ank International jelasnya, juga berusaha menilai projek perintis termasuk tokenisasi ekuiti syarikat tersenarai terpilih dan hartanah utama di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC).
Sehingga kini, ia menarik lebih 20,000 ahli komuniti dari seluruh dunia, mencerminkan potensi antarabangsa platform ini sebagai pencetus transformasi aset tradisional kepada aset digital.
Menariknya, TSRW turut menyasarkan kerjasama erat dengan syarikat-syarikat dari China yang sedang mencari laluan ke pasaran global dan Malaysia dilihat memiliki kelebihan sebagai hab strategik.
"Ini memandangkan dasar yang stabil, kos operasi berdaya saing, serta kemampuan pelbagai bahasa. Tote8ank International menawarkan sokongan hujung-ke-hujung untuk firma China," kata Silver Ridge.
Ia meliputi penubuhan entiti, audit, cukai, pematuhan sehingga perluasan pasaran, dan sebagai timbal balik, penyertaan syarikat China ke Malaysia dijangka membawa masuk banyak faedah sampingan.
Ini jelas kumpulan tersebut termasuk teknologi, kepakaran dan inovasi, sekali gus membantu mencipta peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta memperkukuhkan ekosistem teknologi tempatan sendiri.
Tote8ank International tambah Silver Ridge, menyasarkan untuk menjadi inkubator tokenisasi dan dagangan RWA pertama dunia merangkumi ekuiti, hartanah, tenaga, pelancongan dan pertanian.
"Perkembangan positif ini sekali gus dijangka mampu menghubungkan dunia kewangan tradisional (TradFi) dan kewangan terdesentralisasi (DeFi) melalui platform baharu tersebut," katanya.
Kumpulan itu yakin langkah ini akan menjadikan Tote8ank International bukan sekadar platform kewangan digital, tetapi pemangkin penciptaan nilai ekonomi jangka panjang di Malaysia. - DagangNews.com








