Silver Ridge peroleh kontrak RM2.5 juta bina rumah kedai dua tingkat di Kapar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Silver Ridge peroleh kontrak RM2.5 juta bina rumah kedai dua tingkat di Kapar

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 21 AprilSilver Ridge Holdings Berhad memperoleh kontrak pembinaan yang bernilai keseluruhan RM2.49 juta bagi projek pembangunan rumah kedai dua tingkat di Kapar, Selangor.


Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat tersebut berkata kontrak berkenaan diterima melalui anak syarikat milik penuhnya, Ingress Delta Construction Sdn Bhd.


Menurut kumpulan itu, skop kerja melibatkan reka dan bina termasuk kerja perobohan serta pembinaan tiga unit rumah kedai dua tingkat di Lot 44, 45 dan 46, Seksyen 2, Mukim Pekan Kapar.


"Projek pembangunan tersebut sebenarnya sudah bermula pada 15 April 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 14 Julai 2028," kata Silver Ridge dalam kenyataan berkenaan.


Syarikat itu menjelaskan kontrak berkenaan adalah dalam skop perniagaan teras kumpulan dan dijangka menyumbang positif kepada pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027 dan 2028.


Pada masa sama ujarnya, kontrak ini tidak memberi sebarang kesan material terhadap modal saham terbitan, pegangan pemegang saham utama, aset bersih sesaham atau tahap penggearan kumpulan.


Tambah Silver Ridge lagi, selain daripada risiko operasi biasa, tiada apa-apa faktor risiko luar jangka yang dikenal pasti berkaitan pelaksanaan projek tersebut, dan mampu ditangani baik.


Lembaga pengarah berpandangan kontrak itu adalah dalam kepentingan terbaik kumpulan, tanpa ada kepentingan daripada pengarah atau pemegang saham utama dalam urus niaga. - DagangNews.com