Signature International optimis 2026 disokong buku tempahan RM1.14 bilion, permintaan kekal kukuh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Signature International optimis 2026 disokong buku tempahan RM1.14 bilion, permintaan kekal kukuh

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 DisSignature International Berhad kekal optimis terhadap prospek 2026, disokong buku tempahan bernilai RM1.14 bilion, serta permintaan berdaya tahan di Malaysia dan Singapura.


Syarikat itu berkata, setakat akhir September 2025, buku tempahannya memberikan keterlihatan hasil  kukuh sehingga tahun kewangan 2026, dengan sumbangan utama daripada jenama Corten di Singapura.


Selain itu jelas kumpulan berkenaan, penghantaran projek secara berterusan di pasaran tempatan dan pelaksanaan pelbagai projek yang konsisten sepanjang 2025 turut membawa kesan pendapatan positif.


"Daripada jumlah keseluruhan, buku tempahan terdiri daripada RM295 juta jenama Signature, RM680 juta jenama Corten, serta RM169 juta kerja dalaman dan pengubahsuaian," katanya dalam kenyataan.


Pengurusan yakin gabungan tempahan ini, bersama-sama pendekatan pemilihan projek dan pelaksanaan berdisiplin, membolehkan kumpulan mengharungi persekitaran operasi yang lebih mencabar pada 2026.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KS Lau berkata, keyakinan Signature berteraskan asas yang kukuh, termasuk permintaan stabil daripada pasaran teras serta model operasi teguh.


Kumpulan itu menekankan disiplin pelaksanaan, dan pengalaman di Singapura melalui jenama Corten kekal penyumbang utama pendapatan, manakala kerja sampingan terus menjadi tonggak keuntungan.
 

KS Laun
KS LAU


"Prestasi positif 2026 turut disokong pencapaian 2025, apabila bagi tempoh sembilan bulan yang berakhir 30 September 2025, kami mencatat keuntungan sebelum cukai RM96.8 juta," jelas beliau.


Prestasi berkenaan kata Lai, dibantu dengan hasil mencecah RM726.6 juta, didorong terutamanya oleh kerja pengubahsuaian dalaman dan permintaan secara berterusan di pasaran Singapura yang pesat.


Sepanjang 2025, ia menumpukan kepada pengurusan margin, aliran tunai dan pengukuhan kunci kira-kira, bagi mengekalkan keuntungan stabil meskipun berdepan tekanan kos dan ketidaktentuan ekonomi.


Lembaga Pengarah Signature jelas beliau, turut mengisytiharkan pembayaran dividen interim untuk satu peringkat sebanyak 3.0 sen sesaham, susulan perkembangan yang amat positif pada tahun ini.


"Walaupun berhati-hati terhadap potensi cabaran pada 2026, kami masih percaya asas pendapatan yang pelbagai, model perniagaan aset ringan dan hubungan dengan pelanggan perlu kukuh," tambahnya.

 
Faktor-faktor itu terus menyokong prestasi kumpulan, dan dan kekal fokus mengukuhkan kedudukan sebagai penyedia utama sistem dapur, almari pakaian dan perkhidmatan pengubahsuaian. - DagangNews.com