KUALA LUMPUR 21 Okt – Signature Alliance Group Berhad mencatatkan peningkatan ketara dalam untung bersih kepada RM22.5 juta bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
Pakar kerja dalaman yang tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia itu melaporkan untung selepas cukai melonjak sebanyak lebih dua kali ganda berbanding RM10.2 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Seiring dengan prestasi kewangan yang cemerlang itu, ia turut mengumumkan dividen interim pertama sebanyak 2.0 sen sesaham, serta menandakan ganjaran sulung sejak penyenaraiannya pada 5 Jun 2025.
"Tarikh kelayakan dividen berkenaan ditetapkan pada 12 November 2025, manakala pembayaran akan dilaksanakan pada 25 November 2025," kata Signature Alliance dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Pendapatan kumpulan itu meningkat kukuh sebanyak 104% tahun ke tahun (YoY) kepada RM265.3 juta, manakala untung sebelum cukai (PBT) naik kepada RM31.2 juta berbanding RM14.5 juta pada 1HFY24.
Tambahnya, sehingga 30 Jun 2025, ia turut mengekalkan kedudukan tunai bersih sebanyak RM138 juta, dengan menguruskan 84 projek aktif dan jumlah buku tempahan pula yang berjumlah RM338.8 juta.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Darren Chang Chung Fei berkata, prestasi itu memberikan keterlihatan hasil dan mencerminkan asas kewangan baik serta pelaksanaan strategik berkesan sejak penyenaraian.
“Pengisytiharan dividen pertama ini menunjukkan keupayaan kami menzahirkan nilai kepada pemegang saham sambil mengekalkan pertumbuhan kumpulan secara mampan," jelas beliau dalam satu kenyataan.
Sejak penyenaraian lebih empat bulan lalu, Signature Alliance tambah beliau, berjaya mengembangkan banyak saluran projek, mengekalkan margin stabil, serta membina imbangan kira-kira yang sihat.
Kumpulan berkenaan kata Chung Fei, sedang berusaha dalam melaksanakan pelan pertumbuhan jangka sederhana, antaranya pembinaan ibu pejabat dan kemudahan pengeluaran yang baharu di Selangor.
Selain itu jelasnya, syarikat tersebut bersedia memperkukuh kehadiran operasi di Pulau Pinang dan Johor; serta melabur dalam peralatan dan teknologi baharu bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran.
"Kami turut menyasarkan banyak projek kerja dalaman yang berskala besar dan bernilai tinggi dalam sektor komersial dan hospitaliti untuk pertumbuhan jangka sederhana serta panjang," kata beliau.
Keutamaan Signature Alliance tambahnya, adalah untuk mengekalkan prestasi kewangan konsisten, memperkukuh kedudukan pasaran dan terus memberi pulangan kompetitif kepada para pemegang saham.
Pengisytiharan dividen awal ini juga mengukuhkan lagi reputasi sebagai syarikat baharu berwibawa dan fokus kepada penciptaan nilai jangka panjang untuk semua pihak berkepentingan. - DagangNews.com








