Sidang Kemuncak Perniagaan Selatan Malaysia anjuran MRCA bakal himpun lebih 400 peserta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sidang Kemuncak Perniagaan Selatan Malaysia anjuran MRCA bakal himpun lebih 400 peserta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 April — Lebih 400 profesional runcit, pelabur dan pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan bakal berkumpul pada Sidang Kemuncak Perniagaan Selatan Malaysia (MSBS) 2025 yang julung kali diadakan pada 6 Mei 2025.


Acara yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin (AICC), Johor Bahru itu dianjurkan Persatuan Rantaian Runcit Malaysia (MRCA) dengan tema 'Teguh Bersama - Industri Peruncitan Mendakap Ledakan Merentas Sempadan'.


Persidangan tersebut bakal menjadi sebuah badan pemikir strategik bagi mereka yang mencari kelebihan sebagai penggerak utama dalam landskap pengguna dan pelaburan Johor semakin berkembang terutama Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). 


"Ia akan dihadiri ramai tokoh awam, pelabur, konglomerat terkemuka serta menawarkan pandangan cara Johor boleh meletakkan diri sebagai hab runcit dan gaya hidup utama menghubungkan Malaysia dan Singapura," kata MRCA dalam satu kenyataan.


Organisasi berkenaan yang ditubuhkan pada 1992 dengan kini dianggotai lebih 600 ahli dan 40,000 premis perniagaan runcit meliputi lebih 400,000 pekerja di seluruh negara, turut menyifatkan MSBS lebih daripada sekadar acara biasa.


MRCA berkata, beberapa sesi perbincangan panel juga akan meneroka strategi rentas negara, arah aliran pengguna semasa, transformasi digital dalam peruncitan dan cara perniagaan kecil boleh memasuki pertumbuhan di Johor.


"MSBS turut menjanjikan rangkaian eksklusif dengan pembuat dasar peringkat tinggi, menjadikan acara ini mesti dihadiri pemain rangkaian runcit, pemaju pusat membeli-belah, jenama makanan dan minuman serta logistik," katanya.


Tiket acara tersebut ditawarkan berharga hanya RM199 untuk ahli manakala sebanyak RM250 pula bagi bukan ahli manakala peluang penajaan dan perkongsian media juga terbuka kepada mana-mana pihak yang berminat.


Bagi yang ada sebarang pertanyaan lanjut, boleh terus menghubungi talian 012-332 6146 atau menerusi e-mel kepada [email protected] - DagangNews.com