Shin Yang Shipyard terima kontrak RM298.5 juta sambung bina OPV 2, OPV 3 APMM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Shin Yang Shipyard terima kontrak RM298.5 juta sambung bina OPV 2, OPV 3 APMM

Kapal OPV 1 APMM, KM Tun Fatimah yang diterima Januari lalu.
Oleh Zaki Salleh

LANGKAWI 20 Mei - Projek kontroversi pembinaan baki 2 buah kapal ronda pesisir (OPV) Maritim Malaysia (APMM) yang tertangguh hampir 3 tahun sejak 2022 setelah gagal disiapkan akan disambung semula.

 

Kerajaan bersetuju meneruskan projek tersebut setelah memilih limbungan perkapalan dari Sarawak, Shin Yang Shipyard Sdn. Bhd. menyiapkan OPV 2 dan OPV 3.

 

Ia menerusi penyerahan Surat Hasrat (LOI) dengan nilai projek mencecah RM298.5 juta.

 

 

 

Pada Januari lalu, OPV 1 yang diberi nama KM Tun Fatimah diserah kepada KDN oleh pihak TH Heavy Engineering Berhad (THHE).

 

Kapal

 

Bagaimana pun kapal kedua dan ketiga (OPV 2, OPV 3) gagal disiapkan dengan kedua-duanya telah mencapai status pembinaan sebanyak 76% dan 57%.

 

Kerajaan memeterai perjanjian dengan THHE Destiny pada 2017 untuk membekalkan tiga unit OPV pada kos RM740 juta untuk APMM dan kapal peronda itu dijadual diserahkan pada 2022.

 

Masalah kewangan syarikat induknya, THHE serta pandemik Covid-19 menyebabkan kerja pembinaan kapal tersebut di Pulau Indah tertangguh.

 

Kapal OPV ini dibina menggunakan rekabentuk Damen 1800 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter.

 

 

Kapal
Bahagian kapal OPV 2 dan OPV 3 yang belum siap (foto media sosial).

 

Kapal

 

Ia berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu 21 hari tanpa ulang bekal.

 

Reka bentuk kapal ini bakal menjadikan OPV berkemampuan menghadapi laut bergelora sehingga tahap Force 7. 

 

Kapal ini juga mampu melaksanakan tugas-tugas seperti bantuan kemanusiaan, bertindak sebagai kapal logistik dan kapal pemerintah.

 

Sementara itu, APMM dalam kenyataan memaklumkan, LOI berkenaan antara beberapa perjanjian strategik bernilai hampir RM1.19 bilion dimeterai KDN pada LIMA 2025 yang bermula hari ini.

 

Antaranya melibatkan pembelian Kapal Multi-Purpose Mission Ship (MPMS) daripada Desan Shipyard bernilai RM300 juta dan penyelenggaraan Sistem Pengawasan Laut Malaysia (SWASLA) oleh AMP Corporation (M) Sdn. Bhd. bernilai RM59.4 juta.

 

Seterusnya perolehan 4 helikopter medium lift melalui Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd di bawah Program Kolaborasi Industri (ICP) bernilai RM529.6 juta.

 

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Awang Alik Jeman menandatangani kontrak perolehan tersebut bersama syarikat-syarikat terlibat.

 

Pembelian kapal MPMS, helikopter medium lift dan penyelenggaraan radar SWASLA telah dimeterai sebelum ini, cuma majlis hari ini bagi pengesahan rasmi. - DagangNews.com