KUALA LUMPUR 24 April - Limbungan perkapalan tempatan, Shin Yang Shipyard membuktikan kemampuan apabila berjaya menyiapkan kontrak menaik taraf kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Kapal ronda pesisir (OPV) KM Banggi selesai menjalani program pembaikan dan naik taraf menyeluruh di limbungan syarikat itu di Miri, Sarawak selama 26 bulan.
OPV ini menjalani kerja-kerja repowering jentera utama dan refit struktur serta sistem teknikal dengan nilai kontrak kira-kira RM60 juta.
Proses tersebut merangkumi penggantian enjin utama, pemulihan sistem elektrik dan elektronik, serta pemeriksaan menyeluruh struktur kapal.

Kerja-kerja berkenaan telah disiapkan tepat pada masanya mengikut piawaian yang telah ditetapkan oleh APMM.
Difahamkan, program selenggaraan kapal KM Banggi ini merupakan kerja dan penjanaan semula terbesar yang pernah dilakukan oleh Shin Yang Shipyard.
Kerja-kerja bermula dengan pemindahan OPV tersebut ke dok terapung limbungan kapal itu pada Mac 2023 bagi kerja pemasangan enjin dan kipas.
Seterusnya ujian penilaian di pelabuhan dan laut pula telah dijalankan masing-masing pada Februari dan Mac tahun ini.
Selain tenaga kejuteraan tempatan, bahagian logistik dan teknikal APMM turut terlibat langsung sepanjang projek naik taraf dijalankan.


Dengan siapnya program naik taraf tersebut membolehkan OPV berusia hampir 40 tahun ini terus beroperasi dengan optimum.
KM Banggi dengan saiz panjang 75 meter (m) dan lebar 10.75m merupakan OPV kelas Langkawi yang dioperasikan APMM.
Sebuah lagi kapal, KM Langkawi pula sedang menjalani program naik taraf sama di limbungan Lumut Naval Shipyard, Perak.
Kedua-dua kapal bekas kepunyaan TLDM ini diserahkan kepada APMM pada 2006 sebaik agensi itu ditubuhkan.
Sementara itu, APMM dalam satu kenyataan memaklumkan, penyerahan kapal KM Banggi meningkatkan keupayaan operasi agensi itu khususnya di perairan Sabah.


Menurut Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, penerimaan semula OPV tersebut merupakan lonjakan strategik.
“Ini dalam usaha memperkukuh rondaan dan kesiapsiagaan maritim di perairan Sabah, Sarawak dan Labuan yang berdepan pelbagai cabaran keselamatan maritim,” katanya.
Beliau sebelum itu menyaksikan simbolik penyerahan semula kapal antara Pengarah Eksekutif Shin Yang Shipyard, Vincent Ling Lu Yew kepada Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) APMM, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim.
Penyerahan rasmi kapal KM Banggi telah dilakukan di Sabah Ports, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa lalu. - DagangNews.com







