KUALA LUMPUR 6 Feb - Proses penyewaan sejumlah 28 unit helikopter selama 15 tahun dengan kos RM16.6 bilion untuk kegunaan beberapa agensi itu dilaksanakan secara tertib dan teratur berdasarkan keperluan semasa.
Perkara ini ditegaskan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan mengulangi hujah kelebihan pendekatan itu yang disampaikannya sendiri ketika sesi penggulungan Belanjawan 2025 (Peringkat Dasar) lalu.
Malahan ujar beliau lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyentuh mengenai perkara pajakan pesawat berkenaan semasa menjawab slot Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada 28 November 2024.
“Bagaimanapun, perkara ini akan turut diulas dan dijawab sekali lagi oleh saya ketika sesi penggulungan Kementerian Pertahanan yang dijadualkan untuk dibahas pada 20 Februari nanti,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan diminta beri penjelasan keputusan pajak 28 helikopter selama 15 tahun bernilai RM16.6 bilion
Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin semasa bangkit membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja mempersoalkan keputusan kerajaan yang tetap memajak 28 unit helikopter model AugustaWestland 139.

Ahli Parlimen Larut itu juga menuntut penjelasan kerajaan bagi menilai semula kaedah tersebut dan mendakwa nilai sewaan berkenaan boleh menjadi lebih murah jika kerajaan bertindak membeli langsung kesemua pesawat terbabit.
Beliau memberikan contoh Poland dan Filipina yang mampu memperoleh lagi helikopter untuk operasi keselamatan dalam jumlah besar tetapi dengan kos lebih rendah serta berjaya dalam usaha menjimatkan perbelanjaan kerajaan.
Mohamed Khaled sebelum ini menerusi ucapan penggulungan Rang Undang- Undang Perbekalan 2025 memaklumkan bahawa kerajaan memilih untuk menyewa pesawat berkenaan sebelum diagihkan kepada beberapa agensi.
Menurut beliau lagi, pajakan tersebut antaranya paling banyak melibatkan 12 unit yang akan diterima oleh Tentera Udara Diraja Malaysia dan tujuh unit diserahkan untuk misi tugasan pasukan gerakan udara Polis Diraja Malaysia.
Sementara empat unit lagi bakal dimanfaatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia manakala masing-masing dua unit pula akan melibatkan Tentera Laut Diraja Malaysia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.- DagangNews.com








