Setel selesai laksana langkah pemulihan, tiada transaksi atau dana pelanggan terjejas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Setel selesai laksana langkah pemulihan, tiada transaksi atau dana pelanggan terjejas

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Anak syarikat PETRONAS Dagangan Bhd, Setel Ventures Sdn Bhd, telah melaksanakan langkah pemulihan yang diperlukan bagi menangani kelemahan dikenal pasti dalam dapatan pengawalseliaan Bank Negara Malaysia (BNM), sambil memperkukuh proses serta kawalan dalaman syarikat.

 

PETRONAS Dagangan berkata, Setel secara proaktif telah melaporkan perkara tersebut kepada BNM dan terus mengekalkan hubungan serta kerjasama yang rapat dan konstruktif dengan pihak pengawal selia sepanjang proses semakan dijalankan.

 

Menurut syarikat itu, isu berkenaan berpunca daripada perkara yang dikenal pasti menerusi semakan dalaman Setel pada penghujung 2023.

 

 

 

 

 

 

Bagaimanapun, PETRONAS Dagangan menegaskan bahawa isu tersebut tidak melibatkan sebarang transaksi pelanggan dan tidak memberi kesan terhadap dana pelanggan.

 

“Penambahbaikan ini telah dilaksanakan sepenuhnya dalam operasi semasa bagi memastikan pematuhan berterusan terhadap jangkaan pihak pengawal selia,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

 

Setel, yang dikawal selia oleh BNM sebagai penerbit wang elektronik bukan bank, kekal komited untuk mematuhi sepenuhnya semua keperluan pengawalseliaan serta terus memelihara keyakinan dan kepercayaan pelanggan serta pihak berkepentingan.

 

Terdahulu, BNM dilaporkan telah mengenakan penalti monetari pentadbiran sebanyak kira-kira RM637,000 terhadap Setel pada 15 April kerana gagal mengemas kini pangkalan data sekatan dengan serta-merta selepas penerbitan Senarai Domestik.

 

 

 

 

 

 

Bank pusat itu berkata, pelanggaran berkenaan berpunca daripada kelemahan dalam prosedur operasi standard serta sistem saringan sekatan Setel.

 

Setel kemudiannya telah menjelaskan penalti sebanyak RM637,500 pada 6 Mei. - DagangNews.com