Seremban Engineering jual tanah, kilang di Senawang bernilai RM19.5 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Seremban Engineering jual tanah, kilang di Senawang bernilai RM19.5 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 17 Jun — Seremban Engineering Berhad berhasrat melupuskan sebidang tanah kosong dan sebuah kilang berkembar miliknya di Seremban, Negeri Sembilan pada nilai pertimbangan RM19.5 juta.


Kumpulan kejuruteraan tersebut berkata, ia melibatkan kawasan tanah beralamat GRN 114865, Lot No 32554, Pekan Senawang serta Lot 75 dan 76, Persiaran Bunga Tanjung 2, Taman Perindustrian Senawang.


Tambahnya, ia susulan pemeteraian perjanjian jual beli (SPA) dengan Vazzo Marketing Sdn Bhd pada 28 Mac 2025 yang melibatkan pembelian secara tunai selaras dengan pelan rasionalisasi perniagaannya.


"Tanah tersebut berkeluasan 16,664 persegi manakala kilang berkenaan terbiar sejak kali terakhir beroperasi pada Oktober 2024," kata Seremban Engineering dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Pelupusan dua aset itu tambah kumpulan tersebut sejajar dengan keputusan lembaga pengarah untuk mengagihkan semula segala sumbernya ke kilang fabrikasi utamanya di Senawang, Negeri Sembilan.


Langkah penjualan hartanah berkenaan katanya, akan membolehkan kumpulan mengurangkan kos operasi secara keseluruhannya melalui usaha penyatuan dua loji fabrikasi tempatan menjadi satu sahaja.


Di samping itu katanya, rasionalisasi tersebut membolehkan Seremban Engineering memaksimumkan penggunaan tenaga kerja dan segala jenteranya dengan cara yang lebih cekap serta kos efektif.


"Cadangan pelupusan ini akan dibentangkan untuk persetujuan pemegang saham dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa yang bakal diadakan di Espira Kinrara, Puchong, Selangor pada 4 Julai 2025," tambahnya.


Sekiranya menerima kelulusan, sejumlah RM15.6 juta perlu dijelaskan Vazzo dalam tempoh enam bulan untuk dijadikan deposit tetap sebagai jaminan kemudahan perbankan dengan UOB (Malaysia) Berhad.


Sementara RM2.153 juta lagi yang diterima akan digunakan Seremban Engineering sebagai pembayaran balik pinjaman dalam masa 12 bulan manakala baki RM1.747 juta untuk perbelanjaan pelupusan aset.


Vazzo katanya, diperbadankan di Malaysia pada 28 September 2012 sebagai syarikat persendirian berhad dengan pejabat berdaftarnya terletak di Pusat Komersial Oakland, Seremban, Negeri Seremban.


"Ia terlibat aktif dalam pelbagai jenis perniagaan terutamanya urusan penjualan semua jenis produk tilam, dan pengangkutan barang melalui jalan raya," kata kumpulan berkenaan. - DagangNews.com