KUALA LUMPUR 3 Nov – Seorang bekas perunding skim unit amanah (UTS) dan skim persaraan swasta (PRS) ditegur Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) kerana isu sijil akademik palsu.
Muhamad Hismalehafis Abdullah, didapati melakukan kesalahan pelanggaran peraturan itu apabila mengemukakan sijil berkenaan ketika permohonan pendaftaran sebagai perunding UTS dan PRS.
Menurut FIMM, beliau yang pernah berkhidmat dengan Manulife Investment Management (M) Berhad, didapati melanggar klausa 4.1.1, 4.2.1 dan 4.3.1(f) di bawah Peraturan Tersusun FIMM (FCR).
"Sebagai tindakan disiplin, beliau dihalang daripada pendaftaran FIMM untuk tempoh tetap disertai teguran awam menurut Peraturan 6.6.1(b)(ii) FCR," kata organisasi itu dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu jelas FIMM, Muhammad Hismalehafis dihalang daripada melakukan pendaftaran UTS dan PRS selama dua tahun yang berkuat kuasa mulai 2 Oktober 2025, mengikut Peraturan 6.6.1(b)(x) FCR.
Badan profesional tersebut menegaskan yang teguran awam ini bertujuan memberi amaran tegas kepada semua perunding agar mematuhi peraturan dan demi melindungi kepentingan pelabur di Malaysia.
Langkah pengawalseliaan FIMM ini menekankan ketegasan terhadap salah laku perunding, sekali gus menjadi peringatan kepatuhan kepada peraturan adalah asas utama industri pelaburan tempatan.
Sebelum ini, ramai bekas perunding yang melakukan kesalahan sama dikenakan tindakan penggantungan dan ada diwajibkan menghadiri latihan etika sekiranya ingin kembali ke industri tersebut.
Organisasi ditubuhkan pada 1993 itu turut menyatakan yang tindakan disiplin tersebut perlu diambil selepas meneliti tahap keseriusan kesalahan dan pencegahan awal bersesuaian. - DagangNews.com








