Sentral REIT dipercayai hasilkan prestasi positif pada 2025 disokong strategi peningkatan kadar penghunian portfolionya - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sentral REIT dipercayai hasilkan prestasi positif pada 2025 disokong strategi peningkatan kadar penghunian portfolionya - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 28 Jan - Sentral Real Estate Investment Trust (Sentral REIT) dipercayai bakal menghasilkan prestasi strabil pada 2025 disokong strategi proaktifnya bagi meningkatkan kadar penghunian serta mengoptimumkan struktur kewangannya.

 

RHB Investment menyuarakan keyakinannya terhadap prospek Sentral REIT selepas ia menyerlahkan inisiatif bagi menangani kekosongan dan mengekalkan daya saing dalam pasaran pejabat yang mencabar.

 

Katanya, pendapatan REIT berpotensi meningkat kerana mereka sedang berusaha untuk mengisi ruang kosong di Menara Shell, yang menyumbang 5% daripada kawasan boleh disewa bersihnya (NLA).

 

“Kami menjangkakan kadar penghunian campuran REIT bertambah baik pada FY25 kerana ia secara beransur-ansur mengisi ruang yang dikosongkan di Menara Shell, kami berpendapat aset utama sepatutnya menarik untuk bakal penyewa,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu juga positif terhadap usaha pembaharuan penyewaan akan datang, yang mewakili 18% daripada NLA REIT.

 

"Tambahan pula, sebahagian besar daripada 18% NLA REIT yang akan diperbaharui pada 2025 terdiri daripada penyewa jangka panjangn di Cyberjaya, serta penyewaan di Menara Shell dan Platinum Sentral,” katanya.

 

RHB Research mengekalkan penarafan "beli" dengan harga sasaran 91 sen.

 

Dari segi kewangan, Sentral REIT baru-baru ini melaksanakan pertukaran kadar faedah untuk menukar RM317 juta hutang kadar terapung kepada kadar tetap, meningkatkan bahagian pinjaman kadar tetap kepada 51% dari 9 Januari 2025.

 

"Kami berpendapat REIT berpotensi kehilangan penjimatan kos faedah dalam jangka pendek, tetapi pengurusan berhasrat untuk meningkatkan lagi bahagian pinjaman kadar tetapnya untuk memastikan struktur pembiayaan yang lebih stabil dalam jangka panjang," katanya.

 

Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research juga berhati-hati terhadap prospek Sentral-REIT pada 2025, menekankan cabaran dalam pasaran pejabat akibat lebihan bekalan.

 

“Savills menjangkakan pertumbuhan bekalan pejabat di Greater KL perlahan kepada ditambah 0.5% hingga 1% pada 2025, lebih perlahan daripada pertumbuhan ditambah 2% hingga 3% pada 2024, yang kami lihat sebagai perkembangan positif untuk hasil sewa," katanya.

 

Potensi pelupusan Wisma Sentral Inai, yang telah kosong sejak suku kedua 2022, diketengahkan sebagai langkah strategik untuk menurunkan kadar perbelanjaan.

 

HLIB Research menjelaskan, sekiranya ia membuahkan hasil, ia berpotensi digunakan untuk menurunkan tahap penggearannya, yang kini berada pada 44.6%.

 

"Wisma Sentral Inai (kosong sejak suku kedua tahun kewangan 2022) masih dalam perbincangan untuk pelupusan – dan jika dijual, hasilnya boleh digunakan untuk mengurangkan tahap penggearannya kepada 38.8% (daripada 44.6% pada masa ini)," katanya. - DagangNews.com