KUALA LUMPUR 11 Dis – Statistik industri sawit Malaysia bagi November 2025 terus menunjukkan tekanan ketara kepada harga minyak sawit mentah (MSM) apabila stok simpanan meningkat mendadak.
Sebaliknya menurut penganalisis, eksport merosot dan persaingan minyak sayuran global semakin sengit, namun mereka mengekalkan pendirian berhati-hati terhadap prospek sektor perladangan.
TA Securities menyifatkan laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada bulan itu sebagai amat lemah, dengan stok simpanan pula meningkat 13% bulan ke bulan (MoM) kepada 2.84 juta tan.
"Ia bersamaan 54.5% tahun ke tahun (YoY), dan rekod tertinggi dalam enam tahun. Pengeluaran MSM susut 5.3% MoM kepada 1.94 juta tan, selari gangguan bermusim, namun naik 19.4% YoY," katanya.
Firma penyelidikan tersebut menyifatkan, situasi perlahan itu disebabkan eksport merosot 28.1% MoM atau 18.6% YoY kepada kira-kira 1.21 juta tan, jauh lebih rendah daripada jangkaan pasaran.
Punca utama tambah TA Securities, susulan pembelian perlahan dari China dan India menjelang musim sejuk akhir 2026, selain stok tinggi minyak makan alternatif di pasaran pelbagai negara import.
Data 10 hari pertama Disember 2025 menunjukkan penghantaran terus lemah, susut 15% MoM, meskipun harga kacang soya jatuh kepada AS$10.85 (RM44.56) segantang akibat cuaca di Brazil dan Argentina.
"Permintaan dari China juga perlahan, dan perkembangan negatif ini menambah tekanan kepada minyak sawit kerana persaingan minyak makan global didapati terus kekal hebat," kata firma berkenaan.
Di Malaysia kata TA Securities, harga MSM jatuh kepada RM4,036 setiap tan akibat lebihan bekalan, eksport lembap dan harga minyak mentah yang lemah, sekali gu mengurangkan daya tarikan biodiesel.
Ia mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perladangan dengan jangkaan harga purata MSM RM4,000 satu tan pada 2026 (-4.8% YoY) disebabkan isu cuaca atau pengeluaran sawit lebih rendah.
Sementara itu, MBSB Research turut melihat keadaan pasaran sawit sebagai masih lagi mencabar, dengan stok akhir pada November 2025 meningkat ke paras hampir tujuh tahun iaitu 2.84 juta tan.
"Harga MSM purata RM4,090 setiap tan pada bulan itu (-7.3% MoM), selaras kebimbangan terhadap lebihan inventori akibat pengeluaran naik kukuh 19.4% YoY," kata firma penyelidikan tersebut.
Keadaan itu jelasnya, disokong pertumbuhan matang sehektar dan produktiviti ladang lebih baik, manakala buah tandan segar (BTS) naik 19% YoY dan kadar perahan minyak (OER) stabil pada 20.35%.
MBSB Research menambah, meskipun tempias ribut tropika Senyar membawa hujan lebat, gangguan operasi ladang adalah minimum, namun eksport turun 28.1% MoM atau 18.6% YoY kepada 1.21 juta tan.
Pembelian dari India dan China pula jelas firma berkenaan, adalah kekal sederhana kerana stok minyak mereka masih tinggi, menyebabkan aktiviti penambahan bekalan baharu menjadi perlahan.
"Kami mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga purata MSM RM4,300 setiap tan (2025) dan RM4,200 setiiap tan (2026), susulan sentimen dijangka lemah kerana stok global kekal tinggi," katanya.
Selain itu kata MBSB Research, ia juga ekoran eksport lemah, persaingan minyak kacang soya dan bunga matahari yang bertambah, serta potensi biodiesel B50 di Indonesia mulai 2H26. - DagangNews.com








