Sentimen lemah jangka pendek, prospek jangka panjang sektor teknologi kekal teguh - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sentimen lemah jangka pendek, prospek jangka panjang sektor teknologi kekal teguh - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Ogos – Sektor teknologi dijangka terus menghadapi cabaran jangka pendek berikutan pelbagai faktor termasuk isu kelewatan tempahan, menurut Maybank Investment Bank (Maybank IB).


Firma penyelidikan tersebut berkata, selain itu ketidaktentuan berkaitan tarif baharu Amerika Syarikat (AS) dan kelemahan nilai dolar negara berkenaan turut memberi tekanan kepada margin eksport.


Lawatan industri firma itu ke hab teknologi utama di Pulau Pinang dan Johor mendapati, kebanyakan syarikat dalam ekosistem semikonduktor dan perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) kekal berwaspada.


"Tinjauan kami menunjukkan mereka masih berhati-hati menjelang keputusan kewangan suku ketiga, namun tetap bersedia untuk fasa pertumbuhan semula menjelang akhir 2025," kata Maybank IB dalam notanya.


Tambahnya, meskipun terdapat ketidaktentuan luaran, beberapa pemain industri menunjukkan tanda-tanda pemulihan dengan sentimen bercampur-campur tetapi yakin petunjuk permintaan semakin pulih


Antara dapatan penting firma itu mendapati, syarikat-syarikat teknologi optimis akan berlaku lonjakan tempahan pada penghujung tahun kalendar 2025 dan melaporkan permintaan ke atas produk semakin baik. 


Syarikat seperti EG Industries pula menantikan pertumbuhan hasil bermula FY26 melalui fasiliti baharu di Batu Kawan, manakala Supercomnet berusaha menambah produk dengan impak tarif diserap pelanggan.


"Beberapa syarikat pula  melabur secara proaktif sebagai persediaan strategik menghadapi kitaran fasa pemulihan teknologi global antaranya Chemlite dengan sumbangan dijangka bermula 3Q25," katanya.


Maybank IB menambah, di Taman Perindustrian AME Elite, sebahagian syarikat pelaburan langsung asing mengambil pendekatan tunggu dan lihat, manakala yang lain meneruskan projek kerana permintaan stabil.


Lawatan itu kata firma berkenaan, dilakukannya sebelum pengumuman tarif baharu sebanyak 19% oleh AS ke atas Malaysia, yang menambah ketidaktentuan jangka pendek terhadap operasi dan margin keuntungan. 


Dalam masa sama, penyusutan dolar AS memberi tekanan ke atas hasil eksport dengan banyak syarikat dijangka membentangkan keputusan sukuan yang lebih lemah dalam musim laporan kewangan akan datang.


"Bagaimanapun, para penggiat industri teknologi menekankan bahawa kesan ini hanya bersifat sementara dan boleh ditangani dengan pelarasan semula harga serta strategi penjimatan kos," kata Maybank IB.


Ia menambah, walaupun penarafan terhadap sektor teknologi adalah kekal 'neutral', para pelabur digesa untuk dapat menumpukan perhatian kepada syarikat yang berdaya tahan dan bernilai tambah tinggi. 


Ini terutama dalam segmen semikonduktor hadapan dan EMS bernilai tinggi, manakala sebarang pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS atau kelonggaran dasar tarif akan menjadi pemangkin pemulihan.


Secara umum kata Maybank IB, meskipun sektor teknologi ketika ini berada dalam fasa berhati-hati, asas industri berkenaan kekal kukuh dan syarikat-syarikat utama telah mula mempersiapkan kapasiti.


"Sebahagian besar juga sudah merancang rantaian bekalan di pasaran bagi menghadapi permintaan yang dijangka meningkat kembali menjelang akhir 2025," katanya. - DagangNews.com