Senheng, Progressture sasar penguasaan pasaran tenaga solar di Sabah dan Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Senheng, Progressture sasar penguasaan pasaran tenaga solar di Sabah dan Sarawak

KH Lim (dua dari kiri) dan Cliff Siaw Sze Hau (dua dari kanan) bergambar selepas pemeteraian kerjasama antara Senheng Electric (KL) Sdn Bhd dan Progressture Power Sdn Bhd.
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 OktSenheng Electric (KL) Sdn Bhd dan Progressture Power Sdn Bhd menjalinkan kerjasama strategik dalam pembangunan sistem tenaga solar serta penyimpanan tenaga bateri (BESS).


Kedua-dua syarikat menyasarkan pemilik rumah di Sabah dan Sarawak, sekali gus mengukuhkan akses pengguna kepada rumusan tenaga bersih, terutama di kawasan sering berdepan isu bekalan elektrik.


Inisiatif dilakukan melalui 20 cawangan Senheng di dua negeri itu, sejajar matlamat negara mencapai 40% campuran tenaga boleh diperbaharui (RE) menjelang 2035 dan sifar bersih karbon pada 2050.


“Dengan subsidi Pemeteran Tenaga Bersih (NEM), kami menjadikan tenaga solar lebih mampu milik dan diakses penduduk berpendapatan kecil,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Progressture, Cliff Siaw.


Dalam pada itu, Senheng memacu kempen ini menerusi pelbagai pelan pembiayaan dan insentif, termasuk ansuran 0% faedah selama 60 bulan serta ganjaran S-Coin 10% dan 30% untuk 30 pelanggan terawal.


Syarikat berkenaan selain itu menawarkan insurans sistem suria hingga RM30,000, pemasangan standard percuma di seluruh negara dan hadiah penapis air dengan jenama Viomi Nano yang bernilai RM2,799.


Menurut Pengerusi Senheng, Lim Kim Heng, pakej lengkap serendah RM24,500 yang disokong Progressture dengan berpengalaman luas dalam projek RE merangkumi sektor kediaman, komersial dan industri.


“Tenaga suria sepatutnya bukan hanya dinikmati penduduk bandar besar, malah menerusi BESS, pengguna di luar bandar ada keupayaan menyimpan tenaga ketika malam atau gangguan bekalan," kata beliau.


Langkah ini juga jelasnya, menepati keperluan tenaga fleksibel serta berdaya tahan, khususnya di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak yang memang terkesan dengan isu ketidakstabilan grid.


Selain itu, tambah beliau, inisiatif ini selari dengan agenda Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) dan strategi kebangsaan untuk menambah baik penyertaan isi rumah dalam penggunaan tenaga bersih.


Progressture turut menjangkakan peningkatan minat pengguna susulan penamatan skim SolaRIS di Semenanjung Malaysia pada April 2025, dengan pengguna di dua negeri itu berada pada kedudukan strategik.


"Kerjasama ini bukan sekadar perluasan perniagaan, ia strategi pengukuhan pasaran tenaga bersih disokong dasar kerajaan, insentif menarik, dan pelaksanaan teknologi yang relevan," katanya.


Dengan tawaran holistik merangkumi sistem suria, bateri, pembiayaan, dan perlindungan insurans, gabungan ini dijangka mempercepatkan kadar RE dalam kalangan isi rumah. - DagangNews.com