KUALA LUMPUR 11 Dis — Kesemua pemegang saham Ireka Corporation Berhad mengekalkan Datuk Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail sebagai Pengarah Urusannya pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-49.
Pemilihan secara sebulat suara ke atas Pengasas Bersama dan Pengerusi Shoraka Group of Companies itu, mengesahkan mandatnya bagi menyandang semula jawatan kumpulan berkenaan sejak 5 Julai 2021.
Beliau yang juga rakan kongsi di Shoraka Advisory Services Dubai, memiliki pengalaman lebih 25 tahun dalam pengurusan dana, perbendaharaan dan konsultansi di ASEAN serta rantau Timur Tengah.
"Sejumlah 16 pemegang saham yang mewakili kira-kira 107,025,780 saham telah hadir mengundi untuk meluluskan resolusi tersebut," kata Ireka dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini.
Mohd Hasnul Ismar, 54, merupakan anak kepada bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Mohd Ismail Che Rus yang turut memegang kedudukan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Ireka.
AGM tersebut dijalankan secara fizikal di Crystal Plaza, Petaling Jaya, Selangor hari ini, dengan keputusan undian semua lima resolusi diluluskan turut disahkan oleh KMZ & Co selaku pemeriksa bebas dilantik.
Berdasarkan maklumat daripada kumpulan kejuruteraan dan pembinaan itu menerusi laman web rasminya, beliau pernah berkhidmat di Jabatan Pelaburan dan Perbendaharaan, Bank Negara Malaysia (BNM).
Selain itu, Mohd Hasnul Ismar pernah menjadi Ketua Pegawai Eksekutif TA Investment Management Malaysia pada 2004, sebelum menubuhkan firma penasihat korporat di Emiriah Arab Bersatu pada 2006.
Graduan Sarjana Muda Sains (Kepujian) Ekonomi dan Perakaunan dari University of Bristol, Britain, pernah menjadi Pengarah Berlesen di bawah United Kingdom Financial Conduct Authority. - DagangNews.com








